Pesalah serangan seksual kekal dipenjara 8 tahun
PUTRAJAYA - Seorang pekerja kilang dikenakan hukuman penjara lapan tahun dan lima sebatan kerana melakukan serangan seksual fizikal ke atas seorang kanak-kanak di bawah asuhan ibunya pada 2017.
Hukuman itu diputuskan sebulat suara oleh panel tiga hakim di Mahkamah Rayuan pada Rabu yang diketuai Hakim Datuk Hanipah Farikullah untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepaskan dan membebaskan Adam Hassan daripada pertuduhan.
Panel hakim membenarkan permohonan pendakwaan untuk mengenakan semula keputusan Mahkamah Sesyen yang menyabitkan Adam di atas pertuduhan itu dan menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan lima sebatan.
Hakim Hanipah yang duduk bersama Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Nordin Hassan berkata melihat kepada bukti, pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Adam, 30, didakwa melakukan perbuatan itu ke atas kanak-kanak perempuan yang berumur tiga tahun lapan bulan ketika kejadian di sebuah pangsapuri di Bayan Lepas, Pulau Pinang pada pukul 6.30 petang, 11 Oktober 2017.
Dia didakwa di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pada 23 Oktober 2019, Mahkamah Sesyen mendapati Adam bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan lima sebatan.
Mahkamah Tinggi pula pada 23 Oktober 2020 membenarkan rayuan Adam dan melepaskan serta membebaskannya dan ini membuatkan pihak pendakwaan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.
Timbalan Pendakwa Raya Aida Khairuleen Azli mewakili pendakwaan pada prosiding pada Rabu sementara Adam diwakili peguam Md Yusuf Md Idris and Bun Liang Sau Ah Seng. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!