11,846 pekerjaan dalam sektor baharu tawar gaji RM5,000, RM10,000

Foto 123rf
Foto 123rf
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 11,846 peluang pekerjaan dalam sektor pekerjaan baharu direkodkan sepanjang tempoh 1 Januari hingga 24 Februari 2022 yang menawarkan gaji antara RM5,000 dan RM10,000 ke atas, menurut Kementerian Sumber Manusia.

Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Rabu, kementerian tersebut berkata peluang pekerjaan baharu itu boleh dirujuk melalui portal MYFutureJobs yang telah diperkenalkan kerajaan sejak 2020.

"Antara industri atau sektor utama yang dikenal pasti mendapat permintaan tinggi adalah sektor komunikasi dan maklumat, pembuatan, pengangkutan, aktiviti profesional, saintifik dan teknikal serta pendidikan.

"Manakala pekerjaan baharu yang kini mendapat permintaan tinggi dalam kalangan majikan ialah penganalisis data, penganalisis sistem ICT, pembangun antara muka pengguna, saintis data, arkitek sistem ICT, pembangun pangkalan data, sistem terbenam, pembangun perisian, jurutera penyelidikan, penganalisis logistik, penganalisis perniagaan ICT, pereka digital media, pembangun permainan digital dan pakar forensik digital,” katanya.

Menurut kementerian, gaji yang ditawarkan adalah bergantung kepada tahap pendidikan, pengalaman dan kemahiran yang dimiliki oleh pencari kerja.

Dalam pada itu, kementerian berkata bagi tempoh 1 Januari 2020 hingga 18 Februari 2022, sebanyak 96,661 majikan telah berdaftar dengan MYFutureJobs yang menawarkan 3.88 juta kekosongan jawatan.

"Daripada jumlah tersebut, sehingga kini sebanyak 431,989 kekosongan jawatan aktif masih terbuka,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!