Harimau Muda taruhan buru ibu segala pingat
HARIMAU Muda sekali lagi menjadi taruhan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam memburu ibu segala pingat pada temasya Sukan SEA Hanoi yang dijadual berlangsung 12 hingga 23 Mei depan.
Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, tidak timbul sebarang isu berhubung keputusan menghantar skuad Bawah 23 Tahun (B-23) bimbingan ketua jurulatih Brad Maloney biarpun mereka mempunyai jadual kejohanan yang padat dan hampir dengan penganjuran temasya dwitahunan itu.
Katanya, ia selepas barisan kejurulatihan pasukan kebangsaan telah berbincang dan mengenal pasti pemain yang akan dipilih bagi menggalas cabaran negara tanpa merencatkan persiapan pasukan menghadapi Kejuaraan Piala Asia B-23 di Uzbekistan yang dijadualkan pada awal Jun.
Jelasnya, perbincangan yang turut mengambil kira penglibatan pemain skuad B-23 untuk bersama skuad Harimau Malaya pada kempen Kelayakan Piala Asia 2023 juga pada Jun, melibatkan Maloney, ketua jurulatih skuad senior, Kim Pan Gon dan Pengarah Teknikal FAM, Scott O'donell.
“Setakat ini tiada sebarang masalah, ketiga-tiga individu itu dapat bekerjasama dan saling memahami kehendak pasukan masing-masing,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Mohd Saifuddin pada masa sama berkata, skuad B-23 negara diletakkan di bawah kategori B bersama-sama pasukan futsal lelaki dan wanita manakala skuad eRimau yang merupakan pasukan e-sukan negara akan bertanding atas tiket kategori A pada temasya sukan berkenaan.
Beliau berkata, FAM tidak menghantar penyertaan dalam acara bola sepak wanita namun tidak menyatakan sebab berbuat demikian.
“Setakat ini kita tidak berdepan sebarang kekangan pasukan bola sepak diletakkan dalam kategori B kerana ia berdasarkan keputusan edisi terdahulu, jadi bila kita dapat pingat insya-ALLAH akan ditukar menjadi kategori A,” katanya.
Skuad B-23 negara di bawah bimbingan Datuk Ong Kim Swee sebelum ini gagal melepasi saingan peringkat kumpulan pada edisi 2019 di Filipina selepas pengendali itu berjaya membawa pasukan negara meraih pingat perak pada edisi 2017 di Kuala Lumpur.
Kali terakhir Malaysia meraih ‘ibu segala pingat’ adalah pada edisi 2011 di Indonesia yang menyaksikan Kim Swee mengendalikan pasukan berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!