Bekalan elektrik tujuh premis judi dipotong

Bekalan elektrik di premis perjudian sekitar Sentul dipotong oleh kakitangan TNB pada Selasa.
Bekalan elektrik di premis perjudian sekitar Sentul dipotong oleh kakitangan TNB pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak tujuh premis yang menjalankan kegiatan perjudian di sekitar Sentul dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik oleh pihak polis serta Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pemotongan bekalan elektrik itu melibatkan premis di Taman Pusat Kepong, Taman Bukit Maluri, Taman Kepong, Metro Prima Kepong dan Kepong Baru.

"Sepanjang bulan Januari dan Februari lalu, sebanyak 41 buah premis telah diserbu oleh polis mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

"Kebanyakan premis yang diserbu adalah rumah kedai yang dipercayai disewa oleh sindiket judi dalam talian," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Eng Lai berkata, sebanyak tujuh premis telah didapati bersalah dan dihukum di mahkamah kerana menjalankan kegiatan perjudian secara haram.

"Kita telah mengarahkan bekalan elektrik di kesemua premis tersebut dipotong oleh kakitangan TNB," katanya.

Menurutnya, operasi pemotongan bekalan elektrik akan diteruskan dari semasa ke semasa sebagai langkah untuk memerangi kegiatan judi haram di daerah ini.

"Sekiranya pemilik premis mahu melakukan pemasangan semula bekalan elektrik, mereka perlu mendapatkan kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) terlebih dahulu sebelum TNB membuat penyambungan semula," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap individu-individu yang didapati melanggar undang-undang.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kegiatan jenayah boleh menyalurkan maklumat tersebut dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di 03-40482206," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!