Ban di Taman Sri Muda pecah
SHAH ALAM - Ban berhampiran pintu kunci air di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini, dilaporkan pecah ketika hujan pada petang Rabu.
Situasi itu dikhuatiri akan mengakibatkan banjir di kawasan perumahan berdekatan akibat limpahan air setinggi 0.61 meter.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.15 malam dan bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, seramai tujuh anggota berlainan pangkat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam tiba ke lokasi pada jam 8.28 malam.
"Pintu kunci air didapati pecah mengakibatkan limpahan berlaku dan dikhuatiri melimpah ke kawasan perumahan berdekatan.
"Pihak bomba menggerakkan dua bot ke lokasi kejadian dan mendapati keadaan terkawal. Namun para pegawai dan anggota masih berada di lokasi untuk membantu jika terdapat pemindahan penduduk," katanya pada Rabu.
Dalam pada itu, Norazam turut memaklumkan pihaknya dan lima buah bot masih berada di lokasi kejadian sehingga air pasang pada jam 12 tengah malam untuk memantau paras air.
Pada masa sama, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menghantar jengkaut untuk menjalankan kerja pembaikan ban pecah tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!