Krisis Rusia-Ukraine: Everton gantung tiga penaja Rusia

Everton menggantung kesemua urusan komersial dan penajaan dengan tiga syarikat Russia berikutan pencerobohan negara itu ke atas Ukraine.
Everton menggantung kesemua urusan komersial dan penajaan dengan tiga syarikat Russia berikutan pencerobohan negara itu ke atas Ukraine.
A
A
A

[DIKEMAS KINI] EVERTON menggantung kesemua urusan komersial dan penajaan dengan tiga syarikat Russia berikutan pencerobohan negara itu ke atas Ukraine.

Kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu mengambil langkah drastik dengan memutuskan semua hubungan dengan syarikat USM, Megafon dan Yota - yang dikaitkan dengan pemilik The Toffees, Alisher Usmanov - berkuat kuasa serta-merta.

Aset Usmanov telah dibekukan kelmarin sebagai sebahagian daripada sekatan yang dikenakan oleh Kesatuan Eropah (EU), satu tindakan yang disifatkan jutawan itu sebagai tidak adil dan dia berikrar untuk mengambil tindakan undang-undang.

Tekanan semakin meningkat kepada Everton untuk menamatkan penglibatan mereka dengan Usmanov yang menyaksikan USM turut menaja gelanggang latihan kelab itu.

Megafon pula merupakan penaja utama pasukan wanita Everton sementara dan logo Yota terpampang di lengan jersi mereka.

Malah, antara pemegang utama saham USM, Farhad Moshiri, juga mempunyai hak untuk mengiklankan jenama syarikatnya di stadium baru The Toffees kelak.

Satu kenyataan malam tadi mengesahkan penajaan itu telah digantung dan kelab berkenaan menyatakan sokongan mereka kepada pemain antarabangsa Ukraine, Vitaliy Mykolenko.

"Semua orang di Everton terkejut dan sedih dengan peristiwa ngeri yang berlaku di Ukraine," menurut kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

“Keadaan tragis ini perlu berakhir secepat mungkin dan sebarang kehilangan nyawa lagi harus dielakkan.

“Pemain, kakitangan barisan kejurulatihan dan semua orang yang bekerja di Everton memberikan sokongan penuh kepada pemain kami Mykolenko dan keluarganya, kami akan terus berbuat demikian.

"Kelab ini mengesahkan telah menangguhkan semua urusan penajaan komersial dengan syarikat Russia USM, Megafon dan Yota berkuat kuasa serta-merta." - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!