Tidak puas hati isu JKMPay, Kasthuri, Rina bertikam lidah
KUALA LUMPUR - Persidangan Dewan Rakyat sesi pagi Khamis ‘panas’ seketika apabila berlaku pertikaman lidah antara Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun dan Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto.
Suasana panas itu bermula selepas Kasthuri dalam soalan tambahannya mendakwa golongan orang kurang upaya (OKU) tidak dilibatkan dalam konsultasi pelaksanaan Program Rintis Bayaran Bantuan Kewangan Tanpa Tunai atau JKMPay.
Dakwanya, kementerian seharusnya membuat kajian menyeluruh serta perlu melibatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) golongan ini supaya kerajaan lebih jelas apa sebenarnya kemahuan mereka.
“Kita lihat hari ini banyak NGO yang bantah (pelaksanaan JKMPay) dan minta pelaksanaan ini dimansuhkan bukan ditangguhkan.
“Saya mohon JKMPay dimansuhkan buat konsultasi serta lantik OKU sebagai pemantau bebas untuk memastikan usaha ini berjaya,” katanya.
Ketika membangkitkan persoalan itu, Kasthuri turut bertanya adakah Pulau Pinang tidak mempunyai OKU kerana sesi libat urus yang diadakan mengenai JKMPay tidak dilaksanakan di Pulau Pinang.
Tidak berpuas hati dengan persoalan yang dibangkitkan Kasthuri mengenai Pulau Pinang tidak dilibatkan, Rina berkata, program itu masih berstatus projek rintis.
“Kita di sini jangan hendak politikkan semua perkara. Kita hendak buat ini untuk kebaikan rakyat, bila disebut ada negeri-negeri sebagai contoh Perlis, Kedah, Melaka, Terengganu, Kelantan dan Selangor tidak termasuk Pulau Pinang.
“Ini hanya projek rintis, kita hendak membantu mereka, kita kena tahu juga ada dalam kalangan mereka penerima bantu ini apabila diberikan wang tunai duitnya hilang, digunakan untuk membeli perkara lain.
“Jadi, untuk menjaga mereka sekurang-kurangnya pakaian, pemakanan, ubat mereka ini mesti dibeli, maksudnya keperluan asas itu perlu dijaga,” katanya.
Tidak berpuas hati dengan penjelasan Rina, Kasthuri sekali bangkit mempersoalkan kenapa golongan OKU tidak dilibatkan dalam konsultasi pelaksanaan program tersebut.
Suasana panas yang berlanjutan beberapa minit kembali reda selepas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun campur tangan dan menamatkan sesi pertanyaan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!