Jual Chelsea: Tuchel harap tiada perubahan ketara berlaku
PENGURUS Chelsea, Thomas Tuchel berharap tidak akan ada perubahan yang besar kepada kelab London itu selepas pemiliknya, Roman Abramovich menyatakan hasrat untuk menjual pasukan tersebut susulan konflik yang berlaku di antara Ukraine dan Rusia ketika ini.
Abramovich yang membeli Chelsea pada tahun 2003, sebelum ini mengeluarkan kenyataan untuk menjual Chelsea bagi menjaga nama serta kepentingan semua pihak di kelab itu.
“Ia agak terlalu awal untuk bercakap kerana saya hanya boleh memikirkan tentang Chelsea bersama Roman Abramovich.
"Jadi ia sangat sukar untuk saya. Sudah tentu ketika ini apa yang pasukan harapkan adalah tiada perubahan yang besar bakal berlaku,” kata Tuchel.
Dalam pada itu, pengendali kelahiran Jerman itu memuji persembahan yang ditampilkan anak buahnya meskipun mengetahui perkhabaran itu sebelum menentang Luton dalam aksi Piala FA awal pagi tadi.
Pada perlawanan itu, Chelsea terselamat daripada mimpi ngeri untuk melangkah ke suku akhir kejohanan itu apabila menumpaskan Luton 3-2 di tempat lawan.
Reece Burke meletakkan Luton di depan pada minit kedua sebelum Saul Niguez menyamakan kedudukan untuk Chelsea minit ke-27.
Chelsea sekali lagi ketinggalan pada minit ke-40 selepas Harry Cornick menjaringkan gol bagi Luton namun Timo Werner kembali menyamakan kedudukan minit ke-68 sebelum Lukaku mengesahkan kemenangan Chelsea 10 minit kemudian.
“Kami cuba mengenepikan segala isu tersebut dan cuma fokus pada perlawanan ini yang mana ia bukan tugas yang mudah.
"Bagaimanapun, kami berjaya melakukannya dan saya sangat berbangga dengan persemabhan pasukan pada perlawanan ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!