PRN Johor: Anwar dakwa UMNO, BN makin sombong
KOTA TINGGI - Kemenangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam beberapa siri pilihan raya sebelum ini didakwa menyebabkan parti itu semakin sombong sehingga tidak mengambil kira kepentingan rakyat.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, tindakan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) juga antara bukti terbaharu yang menunjukkan kesombongan parti tersebut sehingga membawa kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menurutnya, alasan mengadakan pilihan raya untuk menguatkan kerajaan negeri dengan tujuan untuk membantu rakyat juga tidak berasas kerana pembangkang sentiasa menyokong setiap langkah yang diambil bagi kepentingan orang ramai.
“UMNO sekarang banyak sombong. UMNO tengah naik semangat sebab menang sebelum ini di Melaka. Sekarang mahu tunjuk lagi kuat di Johor. Saya mau tanya, dia kuat untuk apa?
“Kalau mahu tolong sama orang miskin, saya pembangkang, saya sokong. Kalau mau tolong naikkan gaji itu orang bawah atau ‘front liners’ (petugas barisan hadapan), saya sokong.
“Kamu nak kuat untuk jaga rakyat, boleh buat sekarang. Turunkan harga barang, beri subsidi harga barang, boleh buat. Tapi nak kuat sebab senang curi projek, senang ambil komisyen,” katanya ketika mengadakan jelajah kempen di DUN Johor Lama, di sini, pada Khamis.
Turut bersama dalam program kempen yang diadakan di sebuah kedai makan, di sini, ialah calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi DUN Johor Lama, Omar Mokhtar A Manap.
Mengulas lanjut Anwar berkata, untuk memberi pengajaran kepada UMNO dan BN, rakyat Johor perlu penilaian sendiri dan membuat perubahan dengan menolak parti tersebut pada PRN Johor kali ini.
Beliau yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, rakyat Johor harus sedar kuasa untuk melakukan perubahan demi kepentingan depan generasi akan datang terletak di tangan mereka melalui undi bakal diberikan pada 12 Mac ini.
“Percaya dalam sistem kita ini, rakyat is king (adalah raja). Orang boleh bagi bendera, duit, beras, tetapi kuasa pangkah pada anda. Mesti fikir pasal anak, masa depan dan sekolah dia. Jangan fikir masa ini sahaja, fikir masa depan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!