Tanda kasih sayang, penduduk NZ kawal masjid Tauranga
TAURANGA - NEW ZEALAND. Kasih sayang dan sokongan tanpa batas terus dizahirkan penduduk New Zealand terhadap komuniti Islam susulan serangan masjid Christchurch, terbaharu rancangan membentuk rantaian manusia di sekeliling Masjid Tauranga Jumaat ini bagi membolehkan jemaah menunaikan solat dengan aman.
Idea yang tercetus daripada laman Facebook NZ Stand Together bertujuan mengajak orang ramai berpegangan tangan mengelilingi masjid di kawasan masing-masing sebagai tanda solidariti terhadap komuniti Muslim yang mahu menunaikan solat Jumaat.
Setiausaha Masjid Tauranga, Ibrahim Hassan berkata, idea tersebut merupakan cara yang baik untuk menyatukan penduduk di waktu yang sukar seperti ini. Menurutnya, tanda kasih sayang sebegini amat penting dan komuniti Muslim dapat merasakan sokongan yang diberi oleh segenap lapisan masyarakat.
Idea membentuk rantaian manusia itu dicetuskan untuk menjadi acara seluruh negara, dan ia dikatakan telah mendapat persetujuan pihak polis dan kerjasama pegawai perhubungan komuniti Muslim Auckland.
Penganjur memaklumkan, kepada sesiapa yang berminat untuk menyertai acara ini mereka boleh terus ke masjid di kawasan masing-masing Jumaat nanti dan menyertai laman FB NZ Stand Together. - NZ HERALD
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!