Polis bongkar sindiket tipu jual barang tidak wujud
SHAH ALAM - Helah sindiket penipuan yang menawarkan penjualan barangan tidak wujud secara dalam talian dibongkar polis menerusi serbuan di sebuah premis di Subang Jaya, pada Selasa.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor, Asisten Komisioner Azman Ali berkata, operasi kira-kira jam 1 petang itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota JSJK Selangor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya.
Dalam operasi itu, menurut beliau, seramai empat suspek warga asing termasuk dua wanita berjaya diberkas.
"Polis merampas pelbagai barang antaranya 10 unit telefon bimbit, pasport (4), router (1), kad kredit (1), buku cek (1) dan 11 komputer riba.
"Siasatan awal mengesyaki terdapat kegiatan penawaran dan pembelian barangan tidak wujud secara dalam talian dengan harga yang lebih murah," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Jelas beliau, kesemua suspek berperanan sebagai operator yang mengendalikan pusat mengiklankan dan menawarkan penjualan barangan tidak wujud secara dalam talian dengan mensasarkan mangsa tempatan dan luar negara.
Azman memberitahu, kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang dari setahun dan tidak lebih dari 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda.
Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran penjualan barangan dalam talian yang ditawarkan dengan harga jauh lebih murah dari harga pasaran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!