Atasi segera isu perparitan Kampung Orang Asli Kampung Tanah Runtoh

Salim (dua dari kanan) menerima sumbangan wakaf al-Quran dan set al-Quran tafsir yang diserahkan oleh pasukan Rasuah Busters di Kluang, Johor. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Salim (dua dari kanan) menerima sumbangan wakaf al-Quran dan set al-Quran tafsir yang diserahkan oleh pasukan Rasuah Busters di Kluang, Johor. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
A
A
A

KLUANG - Penduduk Perkampungan Orang Asli Kampung Tanah Runtoh, dekat sini berharap isu perparitan dapat diatasi segera elak banjir kilat yang sering berlaku.

Penolong Tok Batin Perkampungan Orang Asli Kampung Tanah Runtoh, Salim Arok berkata, masalah banjir kilat sering berlaku di perkampungan tersebut setiap kali hujan lebat berpanjangan.

Katanya, air dari bukit berdekatan akan melimpah turun dan tersekat di longkang yang tidak diselenggara sekian lama.

Menurutnya, kali terakhir sistem perparitan di situ diselenggara pada 2006 apabila berlaku banjir besar.

"Banyak longkang di perkampungan Orang Asli ini yang tersumbat kerana tidak dicuci dan diselenggara dengan baik.

"Setiap kali hujan lebat dan berpanjangan, air akan naik. Pernah air banjir naik sehingga paras dada.

Artikel Berkaitan:

Salim - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Salim - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

"Untuk itu, saya sebagai wakil Tok Batin dan seluruh masyarakat di Perkampungan Orang Asli Kampung Tanah Runtoh memohon pihak bertanggungjawab untuk mengatasi masalah ini dengan segera," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa singgah santun Konvoi #RasuahBusters bersama masyarakat Orang Asli di sini.

Pada majlis tersebut, Pegawai Tugas-tugas Khas Pasukan Rasuah Busters, Hashim Anang menyerahkan wakaf al-Quran, set al-Quran tafsir dan surah Yasin untuk masyarakat Orang Asli di sini.

Hadir sama Pengerusi Yayasan Keperihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Datuk Seri Halim Ishak dan Ketua Kampung Padang Tembak, Rahamat Abd Rahim.

Konvoi #RasuahBusters di sini turut dimeriahkan dengan kehadiran skuad radio terkenal negara, Era FM dan Sinar FM.

 Krew Konvoi Rasuah Busters mengadakan kuiz untuk penduduk Orang Asli Kampung Tanah Runtoh, Kluang. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
Krew Konvoi Rasuah Busters mengadakan kuiz untuk penduduk Orang Asli Kampung Tanah Runtoh, Kluang. - Foto Sinar Harian ROSLI TALIB

Tambah Salim lagi, bantuan diperlukan oleh masyarakat Orang Asli adalah peralatan persekolahan anak-anak seperti beg sekolah, bantuan alat tulis, buku tulis serta pakaian sekolah baharu.

Katanya, kebanyakan ibu bapa anak-anak Orang Asli di sini bekerja sebagai pekebun dan pekerja kilang, selainnya membuat kerja sendiri dan hasil pendapatan yang diperoleh adalah tidak menentu.

"Saya sangat berharap ada pihak yang sudi membantu anak-anak Orang Asli di sini dari segi bantuan persekolahan.

"Perkara ini sangat penting untuk meningkatkan semangat anak-anak ini menuntut ilmu dan pergi ke sekolah dengan sempurna," katanya.

Menurutnya lagi, terdapat lebih 50 buah keluarga di Perkampungan Orang Asli Kampung Tanah Runtoh.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!