Zeti, keluarga perlu disiasat: Tun M

Zeti Akhtar
Zeti Akhtar
A
A
A

AYER HITAM - [DIKEMAS KINI] Pihak berkuasa digesa untuk menyiasat bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan keluarganya berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ia supaya tuduhan yang dibuat terhadap mereka dapat ditentukan benar atau tidak.

“Perkara seperti ini perlu disiasat supaya kita dapat tentukan benar atau tidak Zeti terlibat dengan perbuatan curang ini,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Aspirasi Johor di Felda Ayer Hitam pada Khamis.

Datuk Dr Tawfiq Ayman, suami kepada Zeti sebelum ini dilaporkan menjelaskan tidak pernah menerima sebarang bentuk rasuah daripada sesiapa.

Menurut kenyataan dikeluarkan melalui firma guaman Tetuan Jagjit, Ariff & Co hari ini, beliau antara lain menegaskan tidak mengenali individu bernama Tim Leissner atau Roger Ng jauh sekali bertemu atau berkomunikasi dengan mereka.

Dalam pada itu, Dr Mahathir yang merupakan Pengerusi Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) turut menjelaskan semasa beliau menjawat jawatan Perdana Menteri tidak ada masalah melibatkan Zeti.

“Masa saya jadi Perdana Menteri tak ada masalah. Benda ini berlaku selepas saya meletak jawatan. Di waktu (Datuk Seri) Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri.

“Waktu itu tuduhan-tuduhan dibuat bahawa Zeti dan keluarganya terlibat dengan pengambilan duit 1MDB,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dr Mahathir (dua dari kanan) pada sidang akhbar selepas Program Aspirasi Johor di Felda Ayer Hitam pada Khamis.
Dr Mahathir (dua dari kanan) pada sidang akhbar selepas Program Aspirasi Johor di Felda Ayer Hitam pada Khamis.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!