Permohonan Najib, Mohd Irwan supaya dilepas tanpa dibebas ditolak

Najib - Foto Bernama
Najib - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis menolak permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah, untuk dilepaskan tanpa dibebaskan daripada enam pertuduhan pecah amanah berjumlah RM6.6 bilion membabitkan International Petroleum Investment Company (IPIC) yang dihadapi mereka.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin dalam keputusannya berkata mahkamah memutuskan untuk menolak permohonan tersebut, mengambil kira faktor pihak pendakwaan telah bersedia dengan perbicaraan.

"Tarikh perbicaraan selama 32 hari pada September 2021 sudah ditetapkan sebelum ini, namun telah dilapangkan atas permohonan pihak pendakwaan dan ia tidak dibantah oleh pihak pembelaan.

"Permohonan untuk dilepaskan tanpa dibebaskan mengikut Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah hanya boleh dibenarkan jika pendakwaan tidak berhasrat untuk meneruskan kes,” katanya dan menetapkan 1 hingga 4 April 2023, 8 hingga 11 April dan sepanjang Mei tahun depan sebagai tarikh perbicaraan baharu kes tersebut.

Najib, 68, dan Mohd Irwan, 63, memohon dilepaskan tanpa dibebaskan daripada pertuduhan itu hari ini, semasa pengurusan kes berkenaan atas alasan mereka telah dituduh sejak 2018 namun masih belum dibicarakan sehingga kini.

Peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed yang mewakili Najib sebelum itu berhujah, walaupun selepas didakwa empat tahun lepas, kes terhadap anak guamnya masih tergantung dan perbicaraan belum lagi bermula.

"Pada masa sama, kami memohon beberapa dokumen daripada pihak pendakwaan mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah, tetapi ia masih belum dilengkapkan. Oleh itu, kami pohon satu perintah lepas tanpa bebas diberikan kepada anak guam kami,” katanya.

Peguam Datuk K. Kumaraendran yang mewakili Mohd Irwan berkata, pihaknya tidak meragui proses mahkamah atau pihak pendakwaan, tetapi kes yang dihadapi anak guamnya masih lagi tergantung dan disebut sebanyak 14 kali di mahkamah sejak Oktober 2018.

Artikel Berkaitan:

"Kes ini telah tergantung kerana tiada kesesuaian tarikh bicara berikutan tertuduh pertama iaitu Datuk Seri Najib sedang dibicarakan di beberapa mahkamah berbeza, dan pihak kami mendapat makluman daripada peguam beliau, tarikh yang masih tersedia hanyalah pada tahun 2023.

"Sekiranya Yang Arif membenarkan permohonan ini (lepas tanpa bebas), pihak pendakwaan boleh mengemukakan semula pendakwaan pada bila-bila masa,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi bagaimanapun membantah permohonan itu, atas alasan tidak adil bagi mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh dilepas tanpa dibebaskan pada peringkat ini (sebelum perbicaraan).

Beliau berkata, pihak pendakwaan bersedia untuk menjalankan kes, di mana sudah tiga kali serahan dokumen dibuat mengikut Seksyen 51A dan mengikut peruntukan undang-undang, mereka boleh mengemukakan dokumen tambahan jika ada sebelum perbicaraan.

"Pendakwa raya mewakili 34 juta orang awam yang ingin melihat kes ini dibicarakan, bukan boleh dilepas tanpa dibebaskan begitu sahaja. Kami bersedia untuk membuktikan tuduhan terhadap kedua-dua tertuduh,” katanya.

Pada 24 Oktober 2018, Najib dan Mohd Irwan mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan pecah amanah ke atas harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion, berkaitan bayaran kepada IPIC.

Mereka dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 21 Disember 2016 dan 18 Disember 2017, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!