Bazar Ramadan: JAIPk minta masjid rujuk PBT

Mohd Yusop (duduk, kiri) bersama ahli jawatankuasa kariah masjid pada Majlis Perasmian dan Pelancaran Aplikasi serta Portal MyUmmah di Masjid Sultan Azlan Shah, pada Khamis.
Mohd Yusop (duduk, kiri) bersama ahli jawatankuasa kariah masjid pada Majlis Perasmian dan Pelancaran Aplikasi serta Portal MyUmmah di Masjid Sultan Azlan Shah, pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) meminta pengurusan masjid yang berminat menganjurkan bazar Ramadan untuk merujuk pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum melaksanakannya.

Pengarahnya, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, kebenaran daripada PBT penting bagi memastikan perjalanan bazar Ramadan lancar tanpa sebarang masalah.

Menurut beliau, keputusan untuk melaksanakan bazar Ramadan juga terpulang kepada persetujuan ahli jawatankuasa kariah masjid masing-masing.

"Penganjuran bazar Ramadan ditentukan oleh pihak masjid tetapi perlu bersama-sama dengan PBT disebabkan banyak isu seperti sampah, gangguan trafik dan sebagainya.

"Kita tidak mahu nanti apabila masjid dibenarkan ada bazar Ramadan berlaku pelbagai masalah," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui ketika Majlis Perasmian dan Pelancaran Aplikasi serta Portal MyUmmah di Masjid Sultan Azlan Shah, di sini pada Khamis.

Hadir sama pada majlis itu, Pengarah Urusan Dataprep Holding Berhad, Mohamad Sabir Mohamad Sabri.

Sementara itu mengenai penggunaan aplikasi dan portal MyUmmah, Mohd Yusop berkata, inisiatif tersebut dicetuskan bagi menggalakkan pendigitalan masjid-masjid di Perak.

Katanya, sebagai perintis, lima masjid dan satu surau di negeri itu akan menggunakan kemudahan digital MyUmmah yang menyediakan perkhidmatan modul pendaftaran ahli kariah, pencarian lokasi, modul sumbangan tabung masjid dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

Kata beliau, ahli jawatankuasa masjid dan surau perintis bagi menggunakan kemudahan digital itu telah diberikan taklimat serta bengkel terhadap penggunaan MyUmmah tersebut.

Dalam pada itu, Mohamad Sabir berkata, aplikasi dan portal MyUmmah dibangunkan oleh Dataprep bersama rakan teknologi mereka, K6 Tech Sdn Bhd dengan Microlab Technology Sdn Bhd bertindak sebagai wakil atau duta solusi di Perak.

"MyUmmah menyediakan satu sistem terbuka kepada semua komuniti masjid dan surau sebagai satu solusi lengkap untuk digunakan secara percuma.

"Dataprep melalui inisiatif pembangunan korporat mahu muncul sebagai juara dalam pendigitalan masyarakat bagi menangani cabaran semasa khususnya untuk menguruskan program bantuan, aktiviti derma dan pemberian zakat di dalam komuniti," katanya.

Beliau berkata, pelancaran tersebut juga selari dengan pelan strategik JAIPk untuk menjadikan masjid dan surau sebagai pusat kegiatan komuniti utama.

Masjid-masjid terlibat termasuk Masjid Sultan Azlan, Ipoh; Masjid Muhibuddin Shah, Ipoh; Masjid Muhammad Al-Fateh, Ipoh; Masjid Al-Badr Seribu Selawat, Pulau Pangkor dan Surau Al-Mujahidin Regat Rokam, Ipoh.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!