PRN Johor: Ceramah besar-besaran di tempat awam tidak dibenarkan
SERDANG - Ceramah besar-besaran di tempat awam bagi tujuan berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor masih tidak dibenarkan, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Beliau berkata, aktiviti berkaitan kempen termasuk syarahan hanya dibenarkan diadakan di bilik gerakan atau pejabat parti di peringkat pusat daerah mengundi (PDM).
"Sehingga kini tiada sebarang perubahan. Ceramah besar-besaran di tempat awam adalah tidak dibenarkan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Hari Pendengaran Sedunia 2022 di sini pada Khamis.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Rabu mengumumkan pindaan prosedur operasi standard (SOP) PRN Johor melibatkan kebenaran penganjuran kempen secara fizikal di dalam atau pekarangan pejabat dan bilik gerakan parti.
Namun, jumlah kehadiran termasuk penganjur, penceramah dan peserta menghadiri kempen berkenaan haruslah tidak melebihi 100 orang atau 50 peratus kapasiti ruang dan tidak boleh diadakan di premis yang terbuka atau di tempat awam.
Ditanya sekiranya pekarangan pejabat atau bilik gerakan parti yang disewa di bangunan rumah kedai boleh dijadikan lokasi ceramah, Khairy Jamaluddin berkata, ia dibenarkan selagi tidak melebih kapasiti kehadiran yang ditetapkan SPR.
"Ada bilik gerakan, sewa rumah kedai tetapi mereka susun kerusi di hadapan bangunan untuk adakan ceramah. Ini dikira sebagai pekarangan asalkan tidak melebihi kapasiti,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!