Akta baharu larang aktiviti merokok masih di peringkat libat urus

 Penggubalan rang undang-undang bagi melarang aktiviti merokok dan pemilikan sebarang produk merokok termasuk rokok elektronik (vape) terhadap generasi muda yang lahir selepas 2005 masih di peringkat sesi libat urus. - Gambar hiasan
Penggubalan rang undang-undang bagi melarang aktiviti merokok dan pemilikan sebarang produk merokok termasuk rokok elektronik (vape) terhadap generasi muda yang lahir selepas 2005 masih di peringkat sesi libat urus. - Gambar hiasan
A
A
A

SERDANG - Penggubalan rang undang-undang bagi melarang aktiviti merokok dan pemilikan sebarang produk merokok termasuk rokok elektronik (vape) terhadap generasi muda yang lahir selepas 2005 masih di peringkat sesi libat urus, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Katanya, walaupun beliau berhasrat untuk membentangkan akta baharu itu pada sidang Parlimen sekarang namun masih terdapat beberapa peringkat libat urus yang perlu dijalankan termasuk dengan badan bukan kerajaan (NGO) dan pemain industri.

"Apabila semua proses selesai, akta ini akan dibentangkan sama ada sesi kali ini atau sesi akan datang,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Hari Pendengaran Sedunia 2022 di sini pada Khamis.

Khairy Jamaluddin pada 17 Februari lepas mengumumkan pengenalan akta tersebut bertujuan mengurangkan keterdedahan generasi akan datang terhadap rokok dan produk tembakau kerana pengambilannya adalah faktor utama kejadian kanser dan menyumbang 22 peratus kematian akibat kanser.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata pihaknya sedang mendapatkan pandangan penasihat undang-undang berhubung kesesuaian masa bagi membentangkan laporan Jawatankuasa Siasatan Bebas Insiden Kebakaran Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru kepada umum.

"Memang hasrat saya untuk bentang laporan itu. Tidak ada sebab untuk kami simpan sebagai suatu laporan rahsia cuma ketika ini kami sedang cari masa sesuai,” katanya.

Dalam kebakaran pada 25 Oktober 2016, enam pesakit maut apabila wad unit rawatan rapi di tingkat dua bangunan lima tingkat HSA terbakar, manakala seorang lagi pesakit, dua jururawat dan seorang pelatih fisioterapi cedera akibat terhidup asap.

Ditanya mengenai masalah kekurangan ruang parkir di fasiliti kesihatan kerajaan, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya akan meneliti semula cadangan pembinaan parkir bertingkat bagi menyelesaikan isu terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Isu ini merupakan isu besar. Sejak saya dilantik sebagai Menteri Kesihatan, saya terima banyak aduan berhubung perkara ini. Kami akan teliti semula cadangan parkir bertingkat. Ini untuk keselesaan pesakit dan pengunjung hospital kerajaan,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!