Undi18: Suasana politik Melaka akan alami perubahan drastik
MELAKA - Suasana politik Melaka dilihat akan mengalami perubahan drastik ke arah lebih positif selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada Rabu meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2022 yang membenarkan belia berusia 18 tahun menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan mengundi.
Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM), Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali berkata, lebih ramai pemimpin muda dapat dilahirkan di peringkat negeri seterusnya berupaya menjadi pemimpin negara pada masa hadapan.
Beliau berkata, penglibatan golongan belia seawal 18 tahun dalam agenda politik negeri juga akan melahirkan golongan belia yang celik, peka dan matang terhadap suasana politik negara kerana mereka diberi peluang dan ruang untuk terlibat dalam dunia politik sekali gus meningkatkan jati diri dan sikap sayangkan tanah air.
"Walaupun terdapat kegusaran pelbagai pihak mengenai keupayaan golongan belia seawal 18 tahun menjadi ADUN dan pengundi, antaranya tahap kematangan mereka membuat keputusan memilih atau memimpin, ia bukan isunya.
"Golongan berkenaan juga mampu memacu pembangunan negeri yang lebih pesat dalam pelbagai aspek kerana golongan muda kebanyakan mempunyai idea segar dan kreatif,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Khamis.
Mohd Ridhwan berkata, penglibatan belia seawal 18 tahun dalam dunia politik negeri juga mampu mencetuskan revolusi baharu terutama dalam aspek pendidikan negara kerana kebanyakan mereka merupakan lepasan sekolah yang tentunya berminat menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
Beliau berkata, mereka tentunya mengharapkan pemimpin memberi fokus terhadap agenda pendidikan dengan memastikan akses atau bantuan untuk menyambung pelajaran di institusi pengajian tinggi seperti pinjaman pendidikan mudah diperoleh serta tidak membebankan.
"Selain itu, bakal pemimpin dan pemimpin sedia ada juga perlu memberi fokus kepada kehendak dan keperluan golongan belia seperti peluang pekerjaan yang lebih banyak dan terjamin serta suasana tempat kerja kondusif dan selamat," katanya.
DUN Melaka semalam sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Melaka (Pindaan) 2022 bagi menurunkan kelayakan umur daripada 21 kepada 18 tahun untuk seseorang individu layak menjadi ADUN.
Pindaan rang undang-undang itu dicadangkan berikutan Parlimen telah meminda Seksyen 5 Jadual ke-8 Perlembagaan Persekutuan, berkuat kuasa 11 September 2019, yang menurunkan had umur layak bertanding daripada 21 ke 18 tahun bagi calon Ahli Dewan Rakyat.
Pindaan rang undang-undang itu dibentangkan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan dibahaskan beberapa ADUN sebelum diluluskan dengan sokongan majoriti 25 ADUN selepas bacaan kali ketiga. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!