Bandar Kherson jatuh ke tangan Rusia

Bandar Kherson berjaya diambil alih tentera Rusia pada lewat Rabu setelah pengepungan selama tiga hari. - Foto: Agensi
Bandar Kherson berjaya diambil alih tentera Rusia pada lewat Rabu setelah pengepungan selama tiga hari. - Foto: Agensi
A
A
A

KIEV - Tentera Rusia akhirnya berjaya menawan bandar utama pertama di Ukraine selepas kempen serangan yang dilancarkan sejak seminggu lalu semakin diperhebatkan tanpa menghiraukan kecaman komuniti antarabangsa.

Pengambilalihan bandar Kherson di Laut Hitam yang berpopulasi 290,000 penduduk itu berlaku ketika rundingan pusingan kedua Moscow-Kiev yang dijangka memfokuskan usaha pelaksanaan gencatan senjata berlangsung di sempadan Poland-Belarus pada Khamis.

Ketua pentadbiran wilayah, Gennady Lakhuta pada lewat Rabu mengesahkan 'penceroboh Rusia' kini berada di semua arah di Kherson setelah pengepungan selama tiga hari.

Menurutnya, bandar itu kini berdepan masalah kekurangan bekalan makanan dan ubat-ubatan selain bergelut untuk mengumpulkan dan mengebumikan korban serangan tersebut.

Sementara itu, Datuk Bandar, Igor Kolykhayev dikatakan telah berunding dengan 'tetamu bersenjata' tersebut dan bersetuju dengan pelaksanaan perintah berkurung pada waktu malam serta sekatan terhadap kenderaan yang keluar dan masuk ke Kherson.

"Setakat ini, tiada kejadian tidak diingini berlaku. Bendera kebangsaan Ukraine juga masih megah berkibar," ujarnya.

Ketika ini, tentera Rusia dikatakan semakin mara dan mengepung bandar pelabuhan Mariupol yang lebih besar dan strategik.

Datuk Bandar Vadym Boychenko mendakwa kempen pengeboman berlarutan selama beberapa jam sehingga menyebabkan orang awam terperangkap tanpa bekalan kuasa elektrik, air bersih dan sistem pemanasan tidak dapat berfungsi.

Artikel Berkaitan:

Di Kharkiv, kira-kira tiga sekolah, katedral dan deretan kedai dilaporkan menjadi sasaran bedilan setelah Moscow cuba menguasai bandar tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!