Kemelut PAFA: Persatuan sudah serah semua dokumen
PERSATUAN Bola Sepak Perak (PAFA) yang diterajui Datuk Muhammad Yadzan Mohammad sudah mengemukakan segala dokumen yang diminta Pesuruhjaya Sukan (PJS) bagi menyelesaikan kemelut badan bola sepak Perak itu.
Naib Presidennya, Datuk Seri G Irudianathan berkata, PJS juga perlu bersikap adil dengan meminta dokumen dan bukti keahlian gabungan PAFA ke dalam Persatuan Bola Sepak (PB) Melayu Perak yang bercanggah dengan perlembagaan persatuan.
Jelas beliau, PJS mempersoalkan persatuan yang tidak mengemukakan surat tunjuk sebab sedangkan sebarang aduan timbul diselesai dan diputuskan melalui mesyuarat jawatankuasa PAFA.
"Saya tak tahu kenapa PJS patut jumpa kami. Sebenarnya segala dokumen yang perlu saya dah bagi daripada awal dengan akhir.
"Sepatutnya PJS menghantar surat kepada setiap ahli gabungan untuk memberikan bukti mereka menjadi ahli gabungan PB Melayu dengan surat kebenaran PAFA, itu sahaja," katanya kepada pemberita di Pejabat PAFA, di sini pada Khamis.
PJS pada 1 Mac lalu memaklumkan bahawa pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan PAFA dan Jawatankuasa Ahli-Ahli Gabungan PAFA bagi memberi gambaran sebenar kemelut yang melanda badan induk bola sepak negeri tersebut.
Malah menurut Pesuruhjaya Sukan, Ibrahim Mohd Yusof, hasil pertemuan yang dijadualkan bulan ini juga bagi merumuskan hasil semakan dan sekali gus menyelesaikan kemelut berpanjangan bagi mengelak memberi kesan terhadap pembangunan sukan bola sepak Perak.
Selain Muhammad Yadzan, PAFA kini turut diterajui Datuk Mohd Azhar Jamaluddin dan masing-masing mendakwa sebagai presiden yang sah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!