PRN Johor: Perang bendera kian hangat

Perang bendera kian hangat di Johor terutama di kawasan selatan negeri itu yang kelihatan berwarna-warni dengan kehadiran pelbagai parti yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. - Foto Bernama
Perang bendera kian hangat di Johor terutama di kawasan selatan negeri itu yang kelihatan berwarna-warni dengan kehadiran pelbagai parti yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Perang bendera kian hangat di Johor terutama di kawasan selatan negeri itu yang kelihatan berwarna-warni dengan kehadiran pelbagai parti yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Selain bendera parti yang sering kelihatan setiap kali pilihan raya, turut berkibaran adalah beberapa ‘pesaing baharu.’

Tinjauan Bernama mendapati beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dimeriahkan dengan kehadiran bendera parti yang pertama kali mencuba nasib dalam PRN Johor kali ini.

Antaranya bendera Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), berwarna hitam berserta perkataan putih, yang berkibaran di tepi jalan raya terutama di kawasan ditandingi termasuk DUN Puteri Wangsa.

Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) turut memacak ‘kehadiran’ mereka apabila bendera parti itu, yang berwarna putih dan biru pantone, dapat dilihat di sepanjang jalan besar menuju pusat bandar.

Kehadiran parti baharu pada PRN Johor turut menarik perhatian rakyat Johor yang menyedari kelainan perang bendera kali ini.

Penduduk Pasir Gudang, Fahmi Adnan, 54, berkata dia menyedari kehadiran bendera parti baharu walaupun belum ketara berbanding bendera parti yang telah ‘terkenal.’

"Memang saya perasan ada bendera baharu walaupun banyak bendera parti lama. Contohnya, bendera Pejuang yang warna putih dan biru itu,” katanya kepada Bernama.

Artikel Berkaitan:

Bagi penduduk Kampung Melayu Majidee yang hanya ingin dikenali sebagai Nur Atiqah, 28, dia terpegun dengan bendera hitam di sekitar kawasan itu.

"Saya ada terlihat bendera ‘Muda’ itu... banyak di kawasan ini selain bendera biru dan merah,” katanya.

Turut menjadi tumpuan, bendera Parti Bangsa Malaysia, Parti Sosialis Malaysia dan Perikatan Nasional.

Tinjauan Bernama juga mendapati bendera Parti Warisan yang bertanding buat julung kalinya di Semenanjung tidak semeriah parti baharu lain.

Bagi yang ‘terkenal’ seperti Barisan Nasional, Pakatan Harapan dan PKR, bendera parti terbabit boleh dilihat berkibaran di sekitar bandar raya ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya telah mengumumkan bahawa seramai 239 individu layak menjadi calon PRN Johor yang akan berlangsung pada 12 Mac depan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!