Waktu kempen PRN Johor sehingga jam 12 malam munasabah

Mahdzir
Mahdzir
A
A
A

PONTIAN - Langkah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melanjutkan waktu ceramah sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sehingga jam 12 tengah malam, berbanding sebelum ini yang dihadkan pada jam 10 malam disifatkan UMNO sebagai tindakan munasabah.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata pelanjutan waktu ceramah itu membolehkan jentera parti dan calon mempunyai lebih banyak masa untuk berkempen sebelum hari pengundian pada 12 Mac ini.

"Saya kira SPR buat satu anjakan normal. Biasanya orang balik masjid selepas waktu solat Isyak kira-kira jam 9.3 malam lepas itu baru hendak datang kempen. Kalau dua penceramah tidak cukup masa itu. Jam 10 malam polis sudah suruh tutup.

"Kita ikut SPR sahaja dan teruskan apa yang telah dirancang sepanjang tempoh berkempen ini. Maka kita rancak lagi sehingga jam 12 tengah malam," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Mini Karnival Usahawan Desa@Pontian di sini pada Khamis.

Sebelum itu pada Rabu, SPR mengumumkan ceramah syarahan dan kempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kini boleh diadakan hingga jam 12 tengah malam.

Pindaan prosedur operasi standard (SOP) itu berkuat kuasa serta-merta dan dibuat berdasarkan cadangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Selain melanjutkan waktu berkempen, SPR turut membenarkan penganjuran kempen secara fizikal di dalam atau pekarangan pejabat dan bilik gerakan parti.

Artikel Berkaitan:

Namun, jumlah kehadiran termasuk penganjur, penceramah dan peserta menghadiri kempen berkenaan haruslah tidak melebihi 100 orang atau 50 peratus kapasiti ruang dan tidak boleh diadakan di premis yang terbuka atau di tempat awam.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar turut mengarahkan agensi di bawah kementeriannya memudahcara pengurusan permohonan bantuan dan pemberian geran kepada usahawan kecil.

Katanya, langkah itu bagi membolehkan lebih banyak usahawan kecil dapat dilahirkan seterusnya meningkatkan ekonomi negara.

Dalam pada itu, Mahdzir berkata KUD@Pontian menyasarkan seramai 10,000 pengunjung yang akan hadir ke tapak karnival sepanjang tiga hari sehingga Sabtu.

"Aktiviti yang dilaksanakan merangkumi sesi pameran dan khidmat nasihat. Melalui sesi ini usahawan luar bandar boleh memilih untuk menghadiri mana-mana sesi bimbingan yang berkaitan dengan bidang perniagaan masingmasing.

"Terdapat aktiviti sesi penerangan dan bimbingan dari KPLB dan agensi di bawah serta aktiviti jualan produk oleh 100 usahawan di bawah KPLB," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!