Pakar forensik sahkan pelakon Tangmo Nida mati lemas
BANGKOK - Satu bedah siasat menunjukkan bahawa pelakon televisyen, Nida Patcharaveerapong atau Tangmo Nida, dilaporkan mati lemas dan pakar forensik turut menemui luka besar pada kaki dipercayai disebabkan kipas bot laju, lapor Thaiger.com
Rakan-rakan pelakon tersebut yang bersamanya pada malam Khamis ketika Nida terjatuh dalam Sungai Chao Phraya mendakwa kejadian berlaku semasa dia hendak membuang air kecil.
Ibu Nida mendakwa bahawa anaknya dipercayai ditolak jatuh dan polis yang ragu-ragu dengan insiden itu berkata, pihaknya akan menggunakan alat pengesan bohong terhadap lima kawannya yang berada di lokasi kejadian.
Satu sidang media luar balai polis Mueang Nonthaburi di utara Bangkok, seorang pakar patologi di Institut Perubatan Forensik Hospital Besar memberitahu wartawan bahawa mereka tidak dapat memastikan sama ada dia terjatuh dari bot atau ditolak individu lain.
Katanya, mereka turut menemui luka besar sepanjang 30 sentimeter pada kaki dan dipercayai berpunca daripada kipas bot yang turut mencederakan arteri utama dan menyebabkan Nida gagal menyelamatkan diri.
Nida, 38, maut selepas dilaporkan terjatuh dalam sungai di Bangkok dan pasukan penyelamat menjumpai mayatnya yang dilihat terapung di sungai sekitar 300 meter dari Pibulsongkram Pier, Nonthaburi iaitu kira-kira 1 kilometer dari lokasinya terjatuh selepas dua hari. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!