Pusat perlindungan bom jadi wad bersalin
KIEV - Sekumpulan wanita sarat hamil di Kiev terpaksa menunggu detik kelahiran bayi mereka di ruang bawah tanah sebuah hospital pranatal yang telah dijadikan pusat kecemasan perlindungan bom setelah tentera Moscow kini didakwa mengepung ibu kota tersebut.
Hampir 12 bakal ibu hanya baring beralaskan tilam di atas lantai di sebuah bilik persalinan dan koridor sambil ditemani suami dan ahli keluarga masing-masing.
Mereka juga tidak kisah untuk berkongsi bilik dan tilam sementara menunggu giliran untuk bersalin atau berehat selepas melahirkan anak di tengah-tengah kempen pengeboman yang semakin sengit.
Pihak hospital turut menyediakan sebuah bilik dilengkapi peralatan untuk memantau keadaan ibu dan bayi.
Difahamkan, hospital di Kiev adalah salah sebuah pusat perubatan yang memindahkan operasi mereka ke ruang bawah tanah dan langkah sama turut diambil sebuah kemudahan rawatan di Mariupol yang kini menjadi pusat perlindungan daripada serangan bom dan wad bersalin.
Datuk Bandar Kiev, Vitali Klitschko memberi amaran pasukan tentera musuh semakin mara ke ibu kota berkenaan dan beliau bersama pasukan penentang berikrar untuk memerangi tentera Rusia secara habis-habisan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!