Pecutan terakhir penerima vaksin Sinovac

Penerima vaksin Sinovac perlu mengambil suntikan booster bagi membantu tubuh badan melawan varian Covid-19 yang bermutasi. Foto hiasan
Penerima vaksin Sinovac perlu mengambil suntikan booster bagi membantu tubuh badan melawan varian Covid-19 yang bermutasi. Foto hiasan
A
A
A

PROGRAM vaksinasi sudah tidak asing dengan rakyat Malaysia terutama dalam kalangan kanak-kanak berusia 0 hingga 5 tahun dan ini termasuk vaksin mencegah penyakit tiga serangkai (DPT), polio, measles, mumps, rubella dan HPV (human papilloma virus mencegah kanser serviks).

Terbaharu, berikutan pandemik Covid-19 yang melanda dunia, vaksin virus itu turut diperkenalkan bagi melindungi orang ramai daripada terkena jangkitan.

Jenis-jenis vaksin sedia ada diluluskan di Malaysia adalah vaksin mRNA, iaitu mengandungi genetik RNA virus (Pfizer BioNtech dan Moderna), inactivated vaccine atau salinan virus yang telah dibunuh (Sinopharm dan Sinovac) dan vektor vaksin tidak bereplikasi iaitu AstraZeneca dan Johnson & Johnson.

Oleh kerana terdapat beberapa jenis vaksin dan metode pembangunan vaksin berbeza-beza, maka kajian klinikal untuk melihat keberkesanan turut menghasilkan sedikit perbezaan.

Kajian awal mendapati, walaupun dengan dua inokulasi primer vaksin jenis Sinovac, keberkesanan mereka dalam menghasilkan neutralising antibodi adalah yang paling rendah melawan Covid-19, termasuk strain terkini Omicron.

Vaksin penggalak (booster) adalah vaksin ketiga diberi kepada rakyat setelah didapati dua vaksin primer pertama menjadi kurang berkesan dalam jangka masa lama dan meningkatkan semula risiko jangkitan Covid.

Pakar Perubatan Kesihatan Masyarakat Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, booster jenis Prizer (selepas 2 dos primer Sinovac), dikatakan berjaya menghasilkan tahap antibodi melawan Omicron yang baik, tetapi adalah 7.3 kali lebih rendah berbanding jika menentang strain varian asal Wuhan yang lama.

Jelasnya, kajian daripada syarikat pengeluar Sinovac Biotech sendiri menegaskan tiga dos Sinovac adalah 94 peratus memadai melawan varian Omicron.

Artikel Berkaitan:

Kajian juga menunjukkan peranan booster semakin diperlukan selepas terjadinya mutasi dan varian baharu Omicron ini.

Tambah beliau, sebelum kemunculan Omicron, kadar keberkesanan vaksin Sinovac dikatakan rendah berbanding vaksin lain, dengan anggaran hanya 51 peratus perlindungan terhadap infeksi bersimptom, tetapi perlindungan meningkat terhadap jangkitan lebih parah.

Dalam erti kata lain, penerima vaksin Sinovac perlu mengambil suntikan booster bagi membantu tubuh badan melawan varian Covid-19 yang bermutasi.

Sebelum ini juga, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggesa semua individu berusia 60 tahun ke atas atau penerima dos lengkap vaksin Sinovac berusia 18 tahun ke atas perlu mengambil suntikan dos penggalak bagi mengekalkan status vaksinasi lengkap sehingga 31 Mac.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, jika gagal berbuat demikian, status mereka akan dianggap tidak lengkap vaksinasi dan maklumat itu akan tertera di dalam aplikasi MySejahtera.

“Sekiranya tidak, sijil digital itu akan bertukar warna kepada putih, maksudnya status vaksinasi penuh tidak lagi diberikan dan sekatan akan dibuat di pintu masuk tertentu,” kata Khairy.

Perlu diingatkan, tempoh pemberian dos penggalak ini tidak akan dilanjutkan lagi dan orang ramai diminta segera berbuat demikian bagi melindungi diri daripada terkena kesan teruk daripada jangkitan Covid-19.

Dalam pada itu, Khairy berkata, walaupun kemasukan ke hospital ketika gelombang Omicron menunjukkan trend peningkatan namun kadar discaj dari hospital turut meningkat memandangkan kadar sembuh yang tinggi selain tempoh rawatan di hospital tidak berpanjangan.

Apa yang pasti tindakan kerajaan dalam menggesa rakyat terutamanya penerima vaksin Sinovac untuk mendapatkan dos penggalak adalah demi kebaikan mereka sendiri.

Tidak perlu menuding jari dan menuduh kerajaan mempunyai agenda tersembunyi kerana ia hanya demi untuk melindungi diri kita.

Kita tidak tahu sampai bila virus Covid-19 ini akan berada di muka bumi. Siapa lagi yang boleh membantu menghentikan virus ini jika kita tidak mengambil inisiatif seperti suntikan vaksin bagi melindungi diri sendiri.

* Muhammad Amirul Amin Abdul Rahim ialah pencipta kandungan sosial media Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!