Atap rumbia kembali dicari tahan 20 tahun
JITRA - Atap rumbia yang dihasilkan secara tradisional di kampung-kampung kini kembali menjadi tumpuan orang ramai bagi mengabungkan elemen moden dan tradisional di kediaman mereka
Seorang pengusaha atap rumbia tradisional, Mat Isa Abu, 48, dari Kampung Tebing, dekat sini menerima banyak permintaan dalam skala besar namun tidak dapat memenuhinya akibat bahan-bahan pembuatan atap rumbia seperti pokok rumbia, buluh dan pokok bemban semakin sukar untuk dicari.
Menurutnya, atap tradisional itu yang diperbuat daripada daun pokok rumbia, disokong buluh yang diraut sebelum dijahit menggunakan kulit pokok bemban ataupun rotan untuk mengikatnya.
"Atap rumbia ini ada potensi tinggi kerana mendapat permintaan yang banyak namun saya tidak dapat memenuhinya kerana seorang diri sahaja yang membuatnya bermula dari mencari bahan-bahan asas sehingga menyiapkannya.
Antara kelebihan atap ini adalah mampu bertahan sehingga lebih 20 tahun jika direndam di dalam air selama dua minggu sebelum memasangnya.
Selain itu, atap ini kembali menjadi buruan kerana mampu mengurangkan rasa panas dan ramai berminat menempah untuk memasang di gazebo di laman rumah mereka," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Tebing pada Rabu.
Mat Isa yang juga seorang pesawah terpanggil untuk meneruskan warisan membuat atap tradisional daripada datuknya, Allahyarham Ibrahim Mat dan bapanya, Abu Isa, 78, kerana tidak mahu legasi ini pupus ditelan zaman.
"Saya mula berjinak-jinak membuat atap ini sejak usia 12 tahun. Kini saya ambil alih sepenuhnya dari bapa namun sekitar 100 hingga 200 keping atap rumbia sahaja mampu disiapkan dalam tempoh sebulan akibat kekangan masa.
"Saya terpaksa keluar mencari bahan-bahan pembuatannya di kampung-kampung lain kerana pokok-pokok tersebut semakin berkurangan," kata bapa kepada dua cahaya mata ini.
Jelasnya, terdapat risiko yang perlu dilalui semasa mencari bahan-bahan asas pembuatan atap rumbia antaranya perlu berdepan binatang liar seperti ular berbisa termasuk tebuan dan pacat.
"Generasi muda memang tidak minat membuat atap rumbia ini mungkin kerana pekerjaannya tidak popular. Tiada yang berminat untuk datang belajar.
"Ada beberapa pelajar dari sebuah universiti yang datang buat praktikal untuk melengkapkan kajian mereka sebelum ini. Saya dapati ada yang gagal untuk menghasilkan sekeping atap rumbia, nampak mudah tetapi sebenarnya susah," ujarnya yang menjual sekeping atap rumbia mengikut saiz yang diminta oleh pelanggan.
Tambahnya, legasi pembuatan atap tradisional tersebut akan diperturunkan kepada anak-anak apabila mereka dewasa kerana masih lagi mampu memberikan pulangan pendapatan sampingan kerana sentiasa mendapat permintaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!