Ujian swab jangan sampai jadi beban kewangan kepada rakyat marhaen
KIRI positif, kanan positif, depan positif dan belakang pun ada kes positif.
Demikianlah hendak menggambarkan makin kerap dan banyak kes positif Covid-19 hari ini.
Seperti kata gurauan yang Merak Jalanan baca di media sosial baru-baru ini, 'jika anda tidak ada ahli keluarga atau kawan yang positif maksudnya anda mungkin hidup berseorangan'
Merak Jalanan pun dah makin bimbang hampir setiap hari ada sahaja kedengaran kes positif.
Rakan sepejabat, rakan sepermainan badminton, sanak saudara di kampung, pendek kata ada sahaja kes saban hari.
Bagaimanapun, mengikut naratif pihak kerajaan, dalam menuju fasa endemik, kes Covid-19 yang tinggi ini akan jadi sesuatu yang normal dan biasa.
Macam mana kita lihat kes selesema itu biasa, begitulah kes positif ini.
Pun begitu, jangan dilupa dengan kita hidup semakin normal hari ini dan peningkatan kes Covid-19, sudah tentunya kita akan lebih kerap menjalani ujian swab.
Merak Jalanan sendiri sudah terpaksa membelanjakan sebanyak hampir RM200 dalam dua minggu ini untuk dua ujian RTK di klinik (RM60 caj setiap ujian) dan enam kit ujian kendiri.
Kit ujian kendiri pula terpaksa dibeli di klinik dan kedai serbaneka pada harga RM5 hingga RM15 setiap satu memandangkan ada premis yang menetap had unit pembelian.
Khabarnya banyak premis yang sudah kekurangan bekalan kit ujian kendiri gara-gara permintaan tinggi.
Apa yang Merak Jalanan harapkan, kerajaan mungkin perlu melihat isu akses kepada ujian swab ini secara lebih mendalam memandangkan kes yang tinggi turut meningkatkan permintaan terhadap ujian swab.
Kerajaan perlu melihat dari segi bekalan ujian kit kendiri dan sudah tentunya harga ujian di pusat perubatan yang bagi rakyat marhaen, ujian sehingga dua atau tiga kali sebulan di klinik pasti memberi beban kewangan kepada mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!