Pulau Pinang boleh teroka sumber air bawah tanah
MUAR - Pulau Pinang masih boleh meneroka beberapa sumber air yang lain susulan Perak membuat keputusan tidak membekalkan air mentah kepada negeri itu.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, antara alternatif lain adalah menerusi sumber air bawah tanah seperti yang diambil oleh Kelantan.
“Kelantan antara negeri yang mengambil sumber air bawah tanah. Saya fikir banyak lagi ruang-ruang Pulau Pinang boleh teroka.
“Simpanan margin Pulau Pinang paling besar dan beberapa perancangan saya sebutkan tadi termasuk air bawah tanah itu antara alternatif,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan ceramah kelompok di Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada Khamis.
Kerajaan Perak dilapor masih tidak mampu untuk memenuhi permintaan kerajaan Pulau Pinang bagi membekalkan air mentah ke negeri itu disebabkan keperluan domestik yang masih tidak mencukupi.
Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, beberapa kajian telah dibuat terhadap keperluan air di Perak yang menunjukkan bahawa sumber sedia ada masih belum cukup menampung permintaan sama ada rakyat mahupun industri.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim menambah, Empangan Mengkuang di Bukit Mertajam masih lagi boleh digunakan sebagai sandaran kepada sumber air di Pulau Pinang.
“Kita ada beberapa lagi perancangan termasuk membina takungan air di pinggiran sungai bagi memastikan bahawa keperluan rakyat Pulau Pinang sentiasa mendapat air sebab air merupakan keperluan tidak kira parti dan bangsa,” katanya.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim menjelaskan, sumber air adalah di bawah kerajaan negeri masing-masing dan Perak telah menyatakan mengapa mereka tidak boleh membekalkan air mentah ke Pulau Pinang.
“Perak sudah menyatakan sebab kenapa tak boleh membekalkan air (kerana) harus memenuhi keperluan dalam negeri.
“Menjelang tahun 2035, rakyat Perak dijangka bertambah hingga 3 juta orang, oleh kerana itu keperluan dalam negeri perlu diutamakan dahulu.
“Sebab itu Menteri Besar Perak sudah membuat kenyataan tidak mampu membekalkan air ke Pulau Pinang,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!