Pemain Chelsea tidak bersedia terima pemilik baharu
TONGGAK tengah Chelsea, N'golo Kante mengakui pemain The Blues tidak bersedia untuk menerima berita bahawa Roman Abramovich mahu menjual kelab itu.
Menurut Kante, kesemua pemain terkejut mendengar berita tersebut yang hanya diketahui beberapa jam sebelum Chelsea mencatatkan kemenangan dalam saingan Piala FA ke atas Luton semalam.
"Kami tidak bersedia dengan perkhabaran tersebut. Ia datang dengan pantas.
"Bagaimanapun kami tidak boleh elak perkara tersebut, satu-satunya perkara yang boleh kami lakukan, adalah melakukan yang terbaik pada perlawanan menentang Luton seperti yang selalu dilakukan sebelum ini.
"Ini bermakna kami perlu bermain dengan cara yang terbaik demi untuk pasukan dan juga peminat. Itu satu-satunya perkara yang boleh kami kawal, dan kami mahu melakukannya," katanya.
Pada Rabu, media melaporkan, Abramovich akan menjual kelab EPL itu sambil berjanji hasil jualan itu akan diberikan kepada mangsa perang di Ukraine.
Dalam pada itu, Kante yang akan mencecah umur 31 tahun bulan ini berkata, dia komited untuk meneruskan kariernya di Chelsea dan masih belum mempertimbangkan untuk meninggalkan Stamford Bridge.
"Kebanyakan perlawanan telah berlalu (musim ini), dan kami berada dalam kedudukan yang baik untuk empat teratas. Ia tidak akan mudah kerana kami masih perlu memenangi banyak perlawanan.
"Sejak saya datang ke sini, saya menghabiskan banyak musim yang hebat, banyak kejayaan bersama pemain, pengurus, peminat.
"Saya harap kami dapat meneruskan seperti ini, iaitu terus menang, terus meraikan banyak pencapaian hebat. Inilah cara saya melihat masa depan,"katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!