Everton mara ke suku akhir saingan Piala FA
PENGENDALI Everton, Frank Lampard mengkritik persembahan yang ditampilkan anak buahnya meskipun berjaya mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Boreham Wood dalam aksi pusingan kelima Piala FA di Goodison Park awal pagi tadi.
Menurutnya, barisan pemainnya beraksi teruk pada separuh pertama namun berjaya bangkit untuk melakar kemenangan penting buat pasukan.
"Walaupun berjaya menang tanpa bolos, kami bermain terlalu perlahan pada separuh masa pertama. Bagaimanapun pada separuh masa kedua, kami bermain dengan lebih baik, agresif dan berjaya mencipta beberapa peluang sehingga terciptanya dua gol pada perlawanan ini.
"Pun begitu kredit harus diberikan kepada (Boreham) Wood kerana berjaya menyukarkan kami untuk mara ke pusingan seterusnya," katanya.
Pada perlawanan tersebut, Salomon Rondon menjadi wira buat The Toffees apabila menjaringkan dua gol sekaligus berjaya mengelakkan Everton daripada dimalukan oleh pasukan lawan.
Mengulas mengenai persembahan yang ditampilkan Rondon, Lampard nyata gembira dengan aksinya pada perlawanan itu.
"Sejak saya datang ke sini, dia (Rondon) bukanlah individu yang saya mahu letakkan dalam kesebelasan utama namun, dia seorang pemain yang mempunyai kualiti.
"Bagaimanapun dia bersabar dan sentiasa berikan yang terbaik sekiranya diperlukan. Pada perlawanan ini dia berjaya melakukan tugasnya dengan baik dan berjaya menjaringkan dua gol penting untuk kami.
"Saya gembira dengan persembahannya dan harap dia akan kekalkan prestasi tersebut pada perlawanan akan datang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!