Selangor ke Cheras tanpa dua tonggak

Feichtenbeiner
Feichtenbeiner
A
A
A

SELANGOR FC terpaksa turun tanpa dua tonggak utama apabila berkunjung ke Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras menentang Kuala Lumpur (KL) City FC dalam aksi pertama Liga Super malam ini.

Perkembangan itu disahkan, pengendali Selangor FC, Michael Feichtenbeiner yang memberitahu dua pemain tersebut ialah tonggak pertahanan, Safuwan Baharudin dan pemain tengah, Brendan Gan yang mengalami kecederaan ketika perlawanan pra musim sebelum ini.

Bagaimanapun, jurulatih kelahiran Jerman itu tidak bimbang dengan kehilangan dua tonggak utama itu memandangkan beliau ketika ini mempunyai ramai pemain yang mampu mengisi kekosongan tersebut.

“Saya tidak rasa kekosongan tersebut akan menjadi masalah buat kami kerana kami ada ramai pemain yang mampu bermain dan bersaing bagi merebut kesebelasan utama pasukan.

“Apa yang saya boleh katakan, pasukan kini sudah bersiap sedia perlawanan pertama Liga Super menentang KL City pada Jumaat,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Untuk rekod, kali terakhir Selangor dan KL City bertemu adalah pada peringkat suku akhir Piala Malaysia pada 18 November yang berkesudahan The City Boys menang 1-0 ke atas The Red Giants.

Mengulas lanjut mengenai perlawanan tersebut, Feichtenbeiner mengakui pasukan warga kota kendalian Bojan Hodak merupakan pasukan yang kuat dan menjangkakan perlawanan akan berlangsung sengit.

Bagaimanapun beliau berharap anak buahnya mampu memberi aksi positif sekali gus berjaya mencuri mata pada perlawanan itu.

Artikel Berkaitan:

“Kami tahu bahawa musim lalu kami tidak boleh menang menentang KL dalam empat perlawanan kerana mereka adalah pasukan yang kuat, malah berjaya memenangi Piala Malaysia. Kami sangat menghormati mereka namun ia tidak bermaksud kami akan memberi laluan yang mudah kepada Mereka. Saya menjangkakan aksi yang sengit pada perlawanan ini.

“Saya harap pemain mampu membawa tiga mata penuh atau sekurang-kurangnya satu mata untuk dibawa pulang ke Shah Alam,” katanya.

Sementara itu, penjaga gol Red Giants, Khairulazhan Khalid melaungkan keyakinan bahawa bekas juara 33 kali Piala Malaysia itu sudah sedia menyahut cabaran musim ini.

“Saya yakin rakan sepasukan akan berikan yang terbaik untuk musim ini,” kata penjaga gol kebangsaan itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!