Konflik di Ukraine perlu diselesai melalui rundingan: Tun M
BATU PAHAT - Konflik ketenteraan di antara Rusia dengan Ukraine perlu diselesaikan sama ada melalui proses rundingan, timbang tara atau Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menurutnya, Malaysia sejak dari dahulu berjuang untuk mengharamkan peperangan.
"Kita tidak boleh menyokong negara yang menggunakan peperangan untuk menyelesaikan masalah,” katanya yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) selepas menghadiri Program Aspirasi Johor di Felda Ayer Hitam di sini pada Khamis.
Dr Mahathir yang masih dalam tempoh rawatan, turun padang berkempen membantu Pejuang yang meletakkan calon di 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 56 yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Khamis lalu, Presiden Rusia Vladimir Putin mengerahkan tenteranya menyeberang sempadan negara itu dengan Ukraine untuk melaksanakan operasi ketenteraan khas di negara jirannya itu.
Bagaimanapun, kemaraan tentera Russia di Ukraine mendapat tentangan hebat daripada anggota tentera negara itu.
Pada Isnin, pegawai-pegawai Kyiv dan Moscow mengadakan rundingan di sempadan Ukraine-Belarus dalam usaha mencari jalan penyelesaian terhadap konflik ketenteraan itu, tetapi gagal menemui sebarang titik persetujuan.
Sementara itu, mengenai dakwaan yang mengaitkan bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan suaminya dengan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Dr Mahathir berkata tuduhan itu perlu disiasat.
"Perkara seperti ini perlu disiasat supaya kita dapat tentukan benar atau tidak Zeti terlibat dengan perbuatan ini,” kata bekas Perdana Menteri itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!