Pusat Penempatan Pekerjaan ditubuhkan di setiap negeri

Saravanan
Saravanan
A
A
A

SHAH ALAM - Pusat Penempatan Pekerjaan atau National Placement Centre (NPC) yang dikendalikan oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan ditubuhkan di setiap negeri secara berperingkat.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, perkara tersebut diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam Mesyuarat Pemulihan Negara pada Khamis.

Menurutnya, penubuhan pusat tersebut bertujuan menyokong usaha kerajaan untuk mewujudkan 600,000 peluang pekerjaan bagi rakyat Malaysia seperti yang diumumkan dalam Bajet 2022.

“Menerusi penubuhan NPC, syarikat-syarikat yang ingin menawarkan peluang pekerjaan boleh menggunakan pusat sehenti ini untuk bertemu dengan pencari kerja, menyediakan program latihan kemahiran dan pembangunan kemahiran serta menawarkan penempatan pelatih atau latihan praktikal.

“NPC juga akan menyediakan kemudahan berkaitan dengan proses pengambilan pekerja yang akan memudahkan majikan serta rakyat Malaysia antaranya, bertemu dengan kaunselor kerjaya untuk mendapatkan penilaian kerjaya.

“Masing-masing juga boleh mendapatkan maklumat lanjut untuk mencorak laluan kerjaya serta kursus pembangunan kemahiran yang boleh disertai untuk mereka kekal berpengetahuan dan berkemahiran,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Saravanan berkata, individu yang melawat pusat tersebut boleh membuat pendaftaran di portal MYFutureJobs untuk mendapatkan akses yang lebih luas kepada peluang pekerjaan di seluruh negara.

Katanya, menerusi portal berkenaan, individu boleh mencari dan memohon pekerjaan yang sesuai dengan pengalaman, minat dan kelayakan masing-masing menerusi bimbingan wakil sokongan di pusat tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Dengan adanya pusat sokongan menyeluruh secara fizikal dan dalam talian di pelbagai negeri seperti NPC ini, saya percaya rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang dan kebolehan akan mendapat pekerjaan yang bersesuaian.

“KSM juga akan memastikan usaha kerajaan ini berjalan lancar, seterusnya mempercepatkan pemulihan ekonomi Malaysia tahun ini.

“Ini kerana agenda pembangunan bakat, penciptaan pekerjaan dan kelangsungan serta peningkatan taraf hidup rakyat menjadi keutamaan kementerian ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!