Sudah terantuk baru tengadah

Pembersihan sisa kimia sepanjang 1.5 kilometer Sungai Kim Kim, Pasir Gudang. - foto: Bernama
Pembersihan sisa kimia sepanjang 1.5 kilometer Sungai Kim Kim, Pasir Gudang. - foto: Bernama
A
A
A

KES pencemaran bahan sisa kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor menjadi satu lagi penanda aras pada kenyataan bahawa ‘undang-undang ada, penguat kuasa ada, tetapi penguatkuasaan tiada’ dan kenyataan bahawa ‘jabatan kami kekurangan pegawai penguat kuasa dan kami tidak pernah menerima apa-apa aduan atau laporan daripada penduduk’.

Dua kenyataan ini sudah menjadi lumrah pada setiap kali berlaku tragedi atau musibah yang melanda negara. Kita semacam sudah tahu jawapan dan alasan yang diberikan oleh pihak berkuasa dan tahu juga telahan yang dinyatakan oleh pihak yang berasa amat kecewa dengan tindakan tidak proaktif daripada pihak berkuasa itu.

Dalam temu bual dengan orang awam menerusi siaran televisyen, diberitahu bahawa pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim memang sudah lama berlaku. Hal ini boleh dipercayai kerana kerja-kerja pembersihan sisa toksik itu mengambil masa yang agak lama manakala jarak aliran sungai yang tercemar pula jauh, yakni melebihi satu kilometer.

Kalau hendak disenaraikan memang banyak kes yang berlaku akibat kecuaian pihak penguatkuasaan. Baru-baru ini, kita mendengar kes baharu pencemaran sungai di Cameron Highlands akibat penerokaan secara haram tanah di tebing sungai untuk kegiatan penanaman sayur. Kita juga mendengar beberapa kes penerokaan tanah hutan untuk pembalakan haram di beberapa buah negeri yang menyebabkan sungai berhampiran tercemar hingga menjejaskan ekosistem perkampungan orang Asli. Kawasan yang melibatkan pembuangan bahan kimia beracun daripada kilang-kilang dan pencerobohan tanah untuk pelbagai kegiatan haram bukannya kecil. Saiz kawasannya luas dan aktiviti haram boleh dilihat oleh banyak orang.

Kita berasa mustahil jika pihak berwajib tidak dapat mencium kegiatan haram itu dan kita juga berasa hairan jika masyarakat setempat tidak membuat aduan kepada pihak berwajib sedangkan kesejahteraan hidup mereka terjejas. Jika demikian, apakah masalah sebenar yang menyebabkan tindakan pencegahan awal tidak dibuat?

Berdasarkan pengalaman dalam pengurusan kes-kes serius yang berlaku, banyak pihak berwajib, jabatan-jabatan kerajaan berkenaan dan pihak berkuasa tempatan hanya bertindak selepas sesuatu kes atau tragedi berlaku. Dengan kata lain, dalam kebanyakan kes, tindakan pencegahan awal tidak dibuat.

Mungkin benar tindakan tidak dibuat kerana kekurangan kakitangan atau pegawai penguat kuasa, tetapi alasan sedemikian perlu difikirkan jalan penyelesaiannya. Pendek kata, ketua jabatan perlu bertindak secara proaktif, cepat dan manfaatkan semua sumber dan tenaga yang ada untuk menyelesaikan masalah.

Kita tidak mahu lagi melihat ahli-ahli Parlimen kita penat berbahas meluluskan pelbagai undang-undang tetapi akhirnya undang-undang pencegahan yang digubal tinggal undang-undang dan pihak yang melanggar undang-undang bebas bergerak melakukan aktiviti yang memudaratkan kesejahteraan hidup masyarakat.

Artikel Berkaitan:

Pada satu pihak, kita juga tidak mahu anggota masyarakat tidak melakukan apa-apa tindakan untuk membantu pihak berkuasa membanteras segala kegiatan dan perlakuan yang menyalahi undang-undang berlaku secara bebas di depan mata. Kita mahu supaya semua pihak, kerajaan dan rakyat, saling bekerjasama dan membantu dalam menghadapi apa jua situasi genting dan tragedi yang menyayat hati.

Kita mahu supaya pencemar-pencemar alam faham bahawa tindakan tidak bertanggungjawab mereka telah menyebabkan kerosakan alam semula jadi, kesejahteraan hidup masyarakat terjejas malah keselamatan nyawa penghuni alam terancam. Kegiatan hidup yang normal menjadi tidak normal. Banyak masa, tenaga dan wang ringgit terpaksa dikorbankan untuk menangani permasalahan yang berlaku.

Seperti kes pencemaran di Pasir Gudang, anak-anak tidak dapat pergi ke sekolah, guru-guru tidak dapat menjalankan tugas pengajaran, pasukan-pasukan kebajikan, para penyelamat, anggota keselamatan dan pasukan perubatan serta petugas-petugas sukarela terpaksa berhempas-pulas bertugas siang malam untuk memastikan bahawa semua mangsa tragedi dapat diselamatkan dan keadaan menjadi pulih seperti sediakala.

Apa-apa pun, kita mesti mengelakkan diri daripada sindrom ‘sudah terantuk baru tengadah’ dan faham bahawa ‘mencegah itu lebih baik daripada mengubat’.

* Penulis ialah Munsyi Dewan sejak tahun 1995. Beliau merupakan pesara pegawai pendidikan daerah dan bekas guru pakar Bahasa Melayu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!