Penyangak pelaburan guna gelaran Datuk Seri palsu diberkas

Mohd Kamarudin (dua dari kanan) menunjukkan dokumen yang dirampas polis dalam serbuan di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang pada Selasa.
Mohd Kamarudin (dua dari kanan) menunjukkan dokumen yang dirampas polis dalam serbuan di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sindiket penipuan pelaburan Planetrade membabitkan kerugian RM3.32 juta yang didalangi lelaki yang menggunakan gelaran Datuk Seri palsu berjaya ditumpaskan dalam serbuan berasingan di ibu negara, Selangor dan Pulau Pinang, pada Selasa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, dalam serbuan serentak itu sembilan individu berusia lingkungan 41 hingga 62 tahun terdiri daripada enam wanita dan tiga lelaki termasuk 'Datuk Seri' terbabit ditahan.

"Operasi dijalankan selepas polis mengesan kegiatan sindiket terbabit berasaskan 'preference shares' atau saham keutamaan dikenali dengan nama pelaburan Planetrade (Plan E Investment).

"Hasil serbuan, polis merampas enam buah kenderaan mewah iaitu Bentley (1); Toyota Vellfire (2); Mercedes Benz GLC 200 (1); BMW X4 (1) dan Ford Ranger (1).

"Turut dirampas pelbagai barangan lain seperti telefon bimbit (13); kad ATM (7); komputer (2); set dokumen perjanjian (7) selain beg serta kotak berisi dokumen berkaitan pelaburan," katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata, siasatan mendapati suspek utama berusia 46 tahun menggunakan gelaran Datuk Seri palsu dan sindiket berkenaan aktif sejak Januari 2021.

Katanya, sindiket terbabit yang menggunakan medium media sosial untuk mencari mangsa menjanjikan keuntungan empat peratus hingga lima peratus setiap bulan daripada modal dilaburkan.

"Bagi meyakinkan pelabur, wang mereka akan dilaburkan ke medium patuh syariah di dalam dan luar negara bagi menjamin kadar keuntungan yang besar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Mohd Kamarudin, bagaimanapun, mangsa menyedari ditipu selepas hanya menerima pulangan pada peringkat awal.

Tegasnya, setakat ini, terdapat 21 laporan polis membabitkan sindiket itu dengan kerugian berjumlah RM3.32 juta dan polis menggesa mangsa lain untuk tampil membuat laporan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Akta Pencegahan Jenayah (Poca) 1959 selain tindakan beku ke atas 27 akaun bank bernilai lebih RM700,000 di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001," katanya.

Justeru, polis mengingatkan masyarakat usah percaya dengan kegiatan promosi pelaburan di media sosial dan dapatkan nasihat secara terus melalui CCID Scam Response Center di talian 03-26101559 atau jika mempunyai sebarang maklumat berkaitan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!