Pertembungan bekas ADUN, penyandang warnai saingan di DUN Semerah
BATU PAHAT - Perebutan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor mencuri tumpuan kerana ia bukan sahaja menyaksikan pertandingan lima penjuru tetapi melibatkan dua individu yang pernah menjadi Ahli DUN kawasan itu.
Calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Ariss Samsudin sebelum ini pernah menjadi wakil rakyat di kawasan Semerah sejak 2004 hingga 2013 mewakili Barisan Nasional (BN), dan penampilan kali ini ibarat ‘sirih pulang ke gagang’.
Penampilan semula beliau untuk merampas kerusi itu daripada calon PKR dan penyandang kerusi DUN berkenaan, Mohd Khuzzan Abu Bakar
Ariss berkata, setelah hampir 10 tahun ‘menyepi’ di DUN Semerah, beliau kembali untuk berkhidmat kepada rakyat dan antara fokus yang akan dilakukannya sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat adalah untuk mempromosikan Semerah kepada masyarakat luar.
"Kawasan DUN Semerah ini mempunyai beberapa tarikan yang mampu jadi lokasi pelancongan, antaranya adalah beberapa kedai makan yang menyajikan masakan ikan asam pedas yang merupakan identiti kepada Batu Pahat dan juga Semerah, serta pantai paya bakaunya, di mana saya berhasrat untuk menjadikannya sebagai pusat pelancongan.
"Saya berharap sebaik kawasan Semerah ini menjadi tumpuan, peluang pekerjaan dalam kalangan penduduk setempat bertambah, sekali gus akan menaikkan taraf ekonomi di sini,” katanya kepada Bernama.Menurutnya, setelah beberapa hari berkempen sejak hari penamaan calon pada Sabtu lepas, beliau mengakui ada pengundi keliru yang beliau bertanding atas tiket BN atau pun PN.
Sementara itu, Mohd Khuzzan berkata, berbekalkan slogan ‘Semerah Lebih Baik’, beberapa perancangan telah disusun termasuk mewujudkan kawasan perindustrian berasaskan teknologi tinggi di kawasan berkenaan.
Tambah beliau, turut ditekankan adalah meningkatkan sistem telekomunikasi dan rangkaian internet yang bertujuan memudahkan semua pihak terutamanya golongan pelajar yang kini mula serasi dengan pembelajaran dalam talian.
"Kita juga akan berusaha untuk meningkatkan kecekapan aliran trafik sejajar dengan perkembangan DUN Semerah sebagai urban baharu Johor, dan antaranya membuka akses keluar dan masuk lebuh raya di kawasan Kangkar Senangar terus ke kawasan Semerah.
"Perkara yang paling utama adalah menjadikan kawasan DUN Semerah khususnya dan daerah Batu Pahat amnya sebagai tarikan ekopelancongan, Warisan dan Makanan yang sememangnya umum tahu kawasan ini kaya dengan warisan serta mempunyai pelbagai makanan yang sinonim dengan Batu Pahat,” katanya.Sementara itu, bagi calon BN Mohd Fared Mohd Khalid, antara usaha yang akan diketengahkan sekiranya diberi peluang untuk menjadi wakil rakyat di DUN Semerah adalah isu pekerjaan dalam kalangan anak muda.
Selain itu, beliau mahu terus memperkasakan industri kecil sederhana (IKS) yang cukup popular di Semerah sekali gus akan mewujudkan peluang pekerjaan.
"Kawasan Semerah ini yang juga terkenal dengan masyarakatnya yang terdiri daripada komuniti nelayan, dan dalam masa yang sama kita akan menjaga kebajikan golongan berkenaan.
"Antara dalam perancangan kita adalah untuk membina jeti yang selesa untuk mereka, ada beberapa isu berkaitan seperti jeti yang uzur dan tidak lagi sesuai untuk digunakan, serta ia perlu digantikan dengan yang baharu,” katanya.
Dua lagi calon yang merebut kerusi DUN Semerah dalam persaingan lima penjuru adalah Kamarolzaman Mohd Jidi mewakili Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Mahdzir Ibrahim daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang)
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Mohd Khuzzan menang dengan majoriti 98 undi menewaskan Mohd Ismail Roslan (BN) dan Adnan Othman (Pas)
Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!