Misha rentung atas tilam
SUNGAI PETANI - Kanak-kanak warganegara Indonesia berusia 11 tahun yang maut dalam kebakaran kilang di Kawasan Perindustrian Bakar Arang di sini, pada Jumaat ditemukan rentung di atas katil dengan tilam yang turut hangus.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata, mayat Misha Kasih ditemukan kira-kira jam 7.30 pagi selepas anggotanya melakukan operasi mencari dan menyelamat di tingkat atas premis itu.
"Kami menemui mangsa dalam keadaan rentung di atas tilam yang turut hangus," katanya kepada pemberita, pada Jumaat.
Menurut Sayani, mangsa dipercayai meninggal dunia akibat lemas terhidu asap ketika api kebakaran marak.
"Kami dapati laluan tangga untuk turun dari bilik itu juga terbakar dan kemungkinan tiada akses untuk mangsa keluar," katanya lagi.
Tambah Sayani, berdasarkan keterangan saksi, kebakaran bermula di bahagian pentadbiran.
"Ruang tengah premis adalah ruang tempat kerja yang menempatkan peralatan serta mesin manakala ruang tingkat atas adalah penginapan.
"Difahamkan, pemiliknya juga menginap di kilang ini. Ada ruang bilik berehat termasuk bilik mangsa," katanya.
Menurut Sayani, sebelum kejadian itu, mangsa dipelawa oleh ibu angkatnya yang merupakan warga tempatan untuk pulang ke rumah tetapi kebetulan pada masa itu rumah mereka terputus bekalan air lalu mangsa berada di sini (kilang),"katanya.
Ketika kejadian, lima ahli keluarga majikan dan dua lagi pekerja termasuk seorang warga Bangladesh turut bermalam di bilik masing-masing dalam kilang itu namun mereka berjaya diselamatkan.
Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan pada jam 4.11 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian.
Operasi memadam dan menyelamat dilakukan dengan kekuatan 30 pegawai serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani, Amanjaya dan Tikam Batu selain bantuan 15 anggota pasukan bomba sukarela.
Api berjaya dikawal lebih kurang sejam kemudian.
Kerugian dianggarkan mencecah RM16.35 juta membabitkan beberapa premis lain yang terjejas antaranya stor penyimpanan gas petroleum cecair (LPG), kilang elektronik dan premis perkakasan hardware.
Punca kejadian masih dalam siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!