Bekas Timbalan Pengarah Urusan Stone Master diarah bayar RM11.54 juta

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Rayuan pada Khamis memutuskan memihak kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2019 bahawa bekas Timbalan Pengarah Urusan Stone Master Corporation Bhd, Datin Chan Chui Mei telah melanggar undang-undang sekuriti.

Hakim Datuk Lee Swee Seng, Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Datuk Gunalan Muniandy menyatakan bahawa Mahkamah Rayuan tidak mendapati sebarang kesilapan dalam dapatan hakim Mahkamah Tinggi yang mendapati Chui Mei telah menyebabkan kerugian secara salah kepada Stone Master, melanggar Seksyen 317A Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA), menurut SC dalam kenyataan pada Jumaat.

Sehubungan itu, Chui Mei diperintah membayar RM11.54 juta dan penalti sivil sebanyak RM1 juta kepada SC.

Semasa perbicaraan, didapati Stone Master telah membayar beberapa wakil tempatan deposit tidak boleh dikembalikan syarikat-syarikat asing berjumlah RM11.59 juta.

Bukti menunjukkan RM11.54 juta daripada deposit itu kemudiannya dipindahkan ke dalam akaun bank peribadi Chui Mei, menurut SC.

Pada 28 September 2016, SC memperoleh injunksi sementara untuk menghalang Chui Mei daripada berurusan dengan wang dalam akaun bank peribadinya sehingga nilai RM11.54 juta. - Bernama

Artikel Berkaitan: