PIJ Holdings lapor polis Muda salah guna kemudahan syarikat
JOHOR BAHRU - Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Negeri Johor, PIJ Holdings Sdn Bhd membuat laporan polis terhadap Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) kerana menggunakan kemudahan syarikat berkenaan sebagai pusat operasi politik.
PIJ Holdings dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat memaklumkan, laporan polis itu dibuat kerana Muda didapati melakukan pencerobohan dan penggunaan aset Inkubator Usahawan di Taman Perbadanan Islam (TPI) Stulang Baru milik PIJ Property tanpa kebenaran.
"Inkubator di TPI Stulang Baru dibangunkan bagi membantu usahawan muda memulakan langkah mereka dalam bidang perniagaan. Ia tidak sesekali bertujuan dijadikan pusat operasi mana-mana parti politik.
"Rekod dan komunikasi terkini kami berkenaan premis tersebut hanyalah dengan pendaftaran seorang individu yang mahu menggunakan premis sebagai pusat perniagaan perabot jati dan bukan dijadikan bilik gerakan politik. Inkubator ini juga tidak boleh disewakan kepada pemilik lain.
"Kami kesal kerana bukan sahaja aset premis ini tidak digunakan bagi tujuan keusahawanan tetapi tujuan lain dan tanpa kebenaran PIJ Property," katanya.
PIJ Holdings juga telah memohon Muda untuk mengosongkan serta mengembalikan premis berkenaan kepada pihak syarikat dalam keadaan asal dan baik.
"Bagi memastikan fungsi dan kemudahan usahawan tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya para usahawan sekitar Johor Bahru, kami memohon perkara ini diselesaikan segera," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!