Latvia, Lithuania dan Estonia sasaran Rusia seterusnya
KIEV - Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy pada Khamis menggesa Barat supaya meningkatkan bantuan ketenteraan kepada Ukraine.
"Beri kami pesawat jika anda tiada kuasa untuk menutup ruang udara. Jika bantuan seumpama itu gagal disalurkan segera, Rusia pasti akan menyasarkan negara lain di Eropah.
"Latvia, Lithuania, Estonia bakal jadi sasaran seterusnya. Percayalah kata-kata saya ini," ujarnya.
Zelenskyy turut menuntut dialog secara terus dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin yang didakwa sebagai satu-satunya cara untuk menghentikan peperangan tersebut.
"Kami tidak serang Rusia dan tiada rancangan seperti itu. Apa yang anda mahukan dari kami? Berambus dari sini!
"Duduk berbincang dengan saya, namun bukanlah pada jarak 30 meter seperti ketika Putin bertemu Presiden Perancis, Emmanuel Macron," katanya merujuk kepada meja panjang yang simbolik dengan pemimpin berkenaan.
Zelenskyy yang cuba meredakan kebimbangan rakyat Ukraine tentang propaganda perang yang diuar-uarkan Barat sejak beberapa minggu lalu juga menyatakan dengan nada kesal, 'tiada siapa menyangka seorang lelaki (Putin) boleh berkelakuan seperti binatang pada zaman moden ini.
Rusia yang pada mulanya mendakwa kempen serangan mereka tidak menyasarkan penduduk dilaporkan telah bertalu-talu membedil infrastruktur awam termasuk sekolah dan meragut sekurang-kurangnya 33 nyawa di bandar Chernihiv. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!