‘PN sedang nilai sokongan calon pilih Menteri Besar’ - Hamzah
PAGOH - Perikatan Nasional (PN) sedang menilai sokongan calon-calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi memilih seorang calon Menteri Besar daripada mereka.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, keputusan akan dibuat oleh Majlis Tertinggi PN dan pihaknya akan mengumumkan perkara itu tidak lama lagi.
“Selepas itu baru kita akan pastikan siapa yang lebih baik untuk kita ketengahkan sebagai calon Menteri Besar,” katanya kepada pemberita selepas menyantuni pengundi di Pekan Pagoh pada Jumaat.
Hadir sama calon PN Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong, Datuk Dr Sahruddin Jamal.
Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee sebelum ini berkata, PN sudah mempunyai calon Menteri Besarnya.
Malah katanya, ia akan diumumkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak lama lagi.
Mengulas lanjut, Hamzah yang merupakan Ahli Parlimen Larut berkata, calon Menteri Besar yang diketengahkan oleh gabungan itu tidak ramai.
“Oleh kerana nak memilih Menteri Besar itu kita mesti melihat kriteria-kriteria tertentu daripada segi pengurusan beliau untuk menguruskan negeri ini dan pengalaman yang ada.
“Dan yang paling penting adalah soal integriti mereka itu. (Itu) tidak boleh dipersoal,” ujarnya.
Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!