Banjir: Wanita warga emas naik traktor selamatkan diri ke bukit
KUALA BERANG - Seorang wanita warga emas di Kampung Bukit Gemuroh di sini tidak akan melupakan detik cemas dilaluinya semasa banjir luar biasa Ahad lepas, ketika terpaksa mengharungi arus deras dan menaiki traktor untuk menyelamatkan diri ke tempat lebih tinggi.
Timah Said, 68, berkata, dia menyedari air naik ke rumahnya separas buku lali pada waktu Subuh dan sempat membawa masuk enam kambing serta beberapa ekor kucing ke dalam sebuah bilik di rumahnya.
Menurutnya, paras air yang semakin meningkat dan arus deras membuatkan dia panik lantas berlari ke kedai makan berhampiran bersama anak bongsunya, Mohd Ruzman Wan Sulong, 30, abangnya, Bedolah Said, 80, serta tiga cucu yang tinggal bersama.
"Memang keadaan hura-hara ketika itu. Orang kampung semua lari ke kedai makan sebab air laju sangat. Kami berhimpit di dalam kedai itu sebab tidak tahu hendak pergi ke mana dan persekitaran masih gelap.
"Tidak sampai setengah jam, kedai itu pula dinaiki air hingga paras lutut namun tidak berapa lama kemudian seorang penduduk kampung bersama sebuah traktor datang ke kedai itu lalu memanggil warga emas dan kanak-kanak untuk naik bagi menyelamatkan diri ke Bukit Gemuroh,” katanya ketika ditemui di rumahnya pada Jumaat.
Timah berkata, keadaan di atas traktor yang dinaiki 20 orang itu sangat mencemaskan kerana penumpang terlalu padat dengan ada yang terpaksa berpaut pada palang besi kenderaan itu dan berpegangan sesama sendiri bagi mengelak daripada terjatuh.
Menurutnya ketika berada di atas Bukit Gemuroh pula, dia menyaksikan sebuah perahu yang sedang menyelamatkan penduduk terbalik namun sempat diselamatkan oleh sebuah bot lain.
Katanya, dalam masa yang sama, anak keduanya Wan Shamsul Bahari Wan Sulong, 44, yang bergegas dari pekan Kuala Berang hampir hanyut ketika cuba meredah banjir pada paras dada untuk menuju ke rumahnya.
Namun Wan Shamsul Bahari sempat berpaut pada sebatang pokok kelapa di tepi jalan sebelum diselamatkan anggota penyelamat dengan menggunakan tali.
"Masa itu anak makcik (Wan Shamsul Bahari) mendapat maklumat bahawa rumah makcik hampir tenggelam melalui kumpulan WhatsApp keluarga. Dia pun risau dan terus bergegas ke rumah makcik. Rupanya ketika makcik dalam keadaan getir, dia juga hampir lemas untuk datang membantu makcik,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!