'Hentikan tabiat buang sampah luar tong'

Mazlan menunjukkan sampah yang dibuang ditepi tong sampah bukan di dalam tong.
Mazlan menunjukkan sampah yang dibuang ditepi tong sampah bukan di dalam tong.
A
A
A

PARIT - Sikap segelintir masyarakat membuang sampah di luar tong sampah disediakan pihak berkuasa tempatan menyebabkan pekan kecil Tanjung Belanja kotor serta berbau busuk.

Ketua Kampung Tanjung Belanja, Mazlan Idris berkata, sebelum ini tong sampah yang disediakan di tapak pembuangan sampah di pekan berkenaan kecil sehingga melimpah keluar dan sampah terpaksa diletakkan di luar tong berkenaan.

"Namun Julai lalu saya memohon kepada Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT) menggantikan tong sampah lebih besar dan Alhamdulillah mereka berikan tong sampah besar bagi mengelakkan sampah melimpah dan berbau busuk.

"Tetapi ternyata apabila diberi tong sampah besar segelintir penduduk masih lagi membuang sampah di luar dan memberi alasan tong sampah baru terlalu tinggi susah nak buang sampah," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Pekan Tanjung Belanja, di sini, semalam.

Menurut Mazlan, dia kemudiannya memaklumkan kepada MDPT dan mereka menggantikan semula tong sampah kecil tetapi keadaan masih sama, sampah masih dibuang di luar tong sampah.

"Ada masa tong sampah tak sampai separuh sampah tetapi di luarnya penuh dengan bungkusan sampah hingga berbau busuk dan menyebabkan orang lalu di jalan utama melihat longgokkan sampah yang menjijikkan.



Longgokkan sampah di hadapan Klinik Desa Tanjung Belanja memberikan pemandangan kurang menyenangkan.

"Majoriti penduduk di sini adalah Melayu dan kita beragama Islam, jadi menjaga kebersihan itu adalah keutamaan kita tetapi mereka buang sampah longgok sahaja di tepi tong, apa guna ada tong sampah," katanya.

Tambahnya, selain masalah tersebut terdapat juga sikap segelintir penduduk membuang sampah di hadapan Klinik Desa Tanjung Belanja sedangkan jarak dari tong sampah utama hanya sekitar 300 meter sahaja.

Artikel Berkaitan:

"Dahulu kawasan itu ada tong sampah tapi MDPT dan ambil kerana tempat pembuangan di pekan, bukan jauh, tapi mereka tetap nak buang di situ hingga berlonggok dan berbau busuk.

"Kemudian datang kepada saya mengadu anjing banyak datang selongkar sampah, sedangkan mereka yang menjadi punca kepada kedatangan haiwan liar berkenaan sebab tak dibuang dalam tong sampah," katanya.

Mazlan turut menasihati orang ramai supaya bersama-sama menjaga kebersihan pekan Tanjung Belanja dan membuang sampah di dalam tong yang disediakan demi keselesaan bersama.

"Ubahlah sikap dan janganlah buang sampah di luar tong sampah kerana ia akan menyebabkan pekan kita kelihatan kotor di mata orang luar yang lalu di kawasan ini, selain boleh menyebabkan penyakit," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!