Dari suri rumah jadi penjual ikan
KUANTAN - Seorang wanita terpaksa mengambil alih tugas sebagai ketua keluarga selepas suaminya sakit dan terlantar kerana luka akibat kencing manis pada tapak kakinya semakin teruk, sejak enam bulan lalu.
Tengku Susilawati Tengku Omar, 43, berkata, suaminya, Tengku Azahar Tengku Husin, 44, kini tidak boleh berjalan apatah lagi untuk bekerja.
Dengan permasalahan itu, pendapatan untuk perbelanjaan keluarga mereka semakin merosot lalu mendorong Tengku Susilawati untuk bekerja dengan menjual pelbagai barangan basah seperti ikan dan sotong untuk dihantar terus ke rumah pelanggan di sekitar Kuantan.
"Sebelum ini, saya seorang suri rumah dan hanya suami yang bekerja mencari rezeki. Tetapi selepas suami sakit, saya terpaksa membantunya dengan menjual hasil laut bagi mendapatkan wang untuk menyara anak-anak yang masih bersekolah, membayar sewa rumah, bil utiliti serta membeli ubat-ubatan suami yang mencecah RM500 setiap bulan bulan," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Taman Pelindung Damai di Beserah.
Kata wanita itu, kata-kata semangat daripada suaminya menjadikan dirinya terus kuat untuk menjalankan perniagaan meskipun bermula tanpa pengalaman.
"Saya perlu kuat dan tidak boleh putus asa untuk berusaha demi keluarga," ujarny.
Tengku Susilawati juga menjual pelbagai produk hasil laut secara dalam talian seperti keropok serta ikan kering.
Sementara itu, Tengku Azahar terharu melihat kesanggupan isterinya mengambil alih tugas sebagai ketua keluarga sejak dia sakit.
“Saya hargai penat lelah isteri kerana dia bukan sahaja membantu menyara keluarga tetapi menjaga saya dengan baik," ucap lelaki itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!