Provokasi seolah-olah cabar Ahmad Idham, Eizlan terlibat politik

Eizlan Yusof (kiri) dan Ahmad Idham
Eizlan Yusof (kiri) dan Ahmad Idham
A
A
A

SHAH ALAM - Provokasi yang dibuat sesetengah pihak yang mengaitkan pelakon, Datuk Seri Eizlan Yusof dan Dr Ahmad Idham Ahmad Nazri bercita-cita menjadi calon dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) seolah-olah mencabar kedua-dua selebriti itu.

Menurut Ahmad Idham, beliau sebelum ini tidak pernah membuat sebarang keputusan berkaitan masa depan politik, namun provokasi yang dibuat seolah-olah mengundangnya untuk terlibat.

“Kami tak pernah membuat keputusan untuk melibatkan diri dalam politik dan provokasi yang datang macam itu membuatkan kadang-kadang saya tak terfikir dah ni (masuk politik).

“Sedangkan bekas bos kami (Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah) tahu pendirian kami berdua tentang politik dan beliau tahu hala tuju kami.

“Mungkin penamatan kontrak kami ada unsur-unsur politik, yang mana ada pihak nak menjatuhkan beliau dan sebagainya sebab PRU15 sudah tidak lama pun,” katanya ketika sidang media yang diadakan secara dalam talian pada Jumaat.

Pada November tahun lalu, Saifuddin telah melantik Ahmad Idham yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Finas sebagai Setiausaha Kebudayaan dan Datuk Seri Eizlan Yusof sebagai Perunding Kreatif di Kementerian Luar.

Sinar Harian semalam melaporkan, kedua-duanya ditamatkan kontrak dalam tempoh 24 jam, selain setiausaha sulit Saifuddin, Datuk Fizal Fauzi.

Sumber rapat dengan kementerian itu berkata, kedua-dua selebriti itu berharap mendapat peruntukan kerusi untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang di bawah tiket Bersatu.

Artikel Berkaitan:

Mereka dikatakan mempunyai aspirasi politik yang tinggi dan berharap mendapat sokongan daripada menteri berkenaan yang juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang.

Ahmad Idham menjelaskan, beliau berhasrat untuk berjumpa Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjelaskan semua isu berbangkit, selain mendapatkan khidmat nasihat dan pandangannya.

“Semua orang tahu bahawa saya memang berminat untuk berbakti kepada masyarakat. Mungkin disebabkan itu nanti, mana tahu saya akan isytihar masuk politik, siapa tahu kan?

"Tetapi bagi saya, biarlah kalau nak cerita pasal politik, biar berjumpa dengan orang yang boleh buat membuat keputusan.

“Saya kena jelaskan isu ini, saya tak nak nanti orang kata saya terhegeh-hegeh nak masuk politik di Pahang, sebab itu kena buang,” ujar beliau.

Sementara itu, Eizlan berkata, provokasi yang mengaitkan mereka dengan politik mungkin sengaja digunakan sebagai senjata untuk menyerang kembali Saifuddin.

“Beliau sendiri tahu pendirian kami tentang politik. Kalau katalah dikatakan kami nak melobi dan sebagainya, kalau diikutkan dalam dunia politik, melobi adalah satu perkara yang biasa.

“Kita sebagai rakyat, siapa-siapa yang teringin mencuba menjadi calon pun tak ada masalah sebab itu adalah permainan biasa di dalam dunia politik,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!