Hoe Yean raih emas ketiga dengan catatan peribadi terbaik
PERENANG muda dari Kuala Lumpur, Khiew Hoe Yean meneruskan rentak cemerlangnya untuk mengungguli acara 100 meter (m) gaya bebas lelaki pada Kejohanan Terbuka Malaysia ke-64 di Pusat Akuatik Kebangsaan pada Jumaat.
Perenang berusia 19 tahun itu mencatat 50.35 saat (s) untuk muncul juara dengan catatan peribadi terbaik sekali gus berjaya mengatasi masa kelayakan ke kategori B bagi Kejohanan Dunia iaitu 50.48s.
Kejayaan itu turut menyaksikan Hoe Yean sekali lagi mengatasi Olimpian, Welson Sim yang juga pemegang rekod kebangsaan dengan 49.54s, yang meraih perak dengan catatan 51.11s manakala Ng Shin Jian Terrence (51.52s) dari Selangor membawa pulang gangsa.
"Saya rasa sangat bagus dan gembira hari ini kerana dapat memperbaiki catatan peribadi terbaik saya," katanya selepas acara berkenaan.
Hari pertama kejohanan pada Khamis, Hoe Yean berjaya merangkul dua emas dalam acara 400m gaya bebas lelaki dan 4x100 rampaian berganti-ganti bersama Khiew Tze Yean, Jayden Tan Khai Xin serta Yap Min Shun.
Sementara itu, perenang kebangsaan Phee Jing En yang mewakili Selangor, muncul juara acara 200m kuak dada wanita dengan mencatat masa 2:38.16s mengatasi perenang Johor Rouxin Tan (2:41.86s) dan Low Ee Mang (2:43.96) dari Selangor.
Jing En pada Khamis meraih emas acara 100m kuak dada.
Dalam pada itu, dua perenang dalam acara 400m rampaian individu iaitu Jayden Tan Khai Xin (4:26.16s) dari Selangor dan Lim Shun Qi (4:31.08s) dari Melaka berjaya meraih kelayakan ke Sukan SEA Hanoi bagi kategori B iaitu 4:32.53s. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!