‘Antara wang atau nyawa’

Peniaga di persimpangan lampu isyarat menjalankan aktiviti mereka di beberapa kawasan di Puncak Alam.
Peniaga di persimpangan lampu isyarat menjalankan aktiviti mereka di beberapa kawasan di Puncak Alam.
A
A
A

SHAH ALAM - Kegiatan anak-anak muda menjaja makanan di lampu isyarat mungkin sesuatu yang asing bagi negara ini, suatu ketika dahulu.

Namun kaedah berniaga seperti ini merupakan fenomena biasa di beberapa negara luar seperti Indonesia dan Thailand.

Keadaan ekonomi kini yang agak mendesak ditambah dengan cabaran pandemik Covid-19 yang melanda negara, menjadikan operasi perniagaan di lampu isyarat sebagai kaedah untuk mencari pendapatan.

Bagaimanapun, keadaan itu sekiranya tidak terkawal pastinya mengundang risiko keselamatan sama ada terhadap para penjaja itu sendiri atau pembeli yang terdiri daripada pengguna jalan raya.

Namun dari sudut lain, para penjaja atau peniaga jalanan turut mempunyai alasan tersendiri kenapa mereka memilih kaedah tersebut untuk mencari pendapatan.

Berdepan pelbagai risiko

Bermula seawal jam 9 pagi, laluan utama di beberapa jalan raya di sekitar Puncak Alam di sini mulai sibuk dengan kenderaan.

Dalam kejauhan kelihatan beberapa anak muda di simpang Persiaran Mokhtar Dahari, Puncak Alam mula pergi ke kenderaan yang sedang menunggu lampu isyarat untuk menjual produk, biasanya jeruk buah.

Artikel Berkaitan:

Keadaan sama juga kelihatan di beberapa lokasi seperti persimpangan dari Lebuhraya Guthrie ke Stadium Shah Alam dan beberapa lokasi sekitar jalan raya utama di negeri ini.

Peniaga di persimpangan lampu isyarat sedang menjalankan aktiviti mereka di beberapa kawasan di Puncak Alam.
Peniaga di persimpangan lampu isyarat sedang menjalankan aktiviti mereka di beberapa kawasan di Puncak Alam.

Bagi penjaja jalanan yang mahu dikenali sebagai Hamzah, 33, asam garam berhadapan dengan pelbagai ragam pelanggan serta keadaan lalu lintas yang sesak tidak sesekali mematahkan semangat dirinya untuk mencari rezeki.

"Saya dah berniaga di persimpangan yang lebih dikenali simpang 199 ini sudah hampir dua tahun, bahaya tu memanglah, tapi apa pun keselamatan tetap diutamakan, saya berniaga bersama tiga lagi adik beradik saya.

"Kami hanya pergi ke kenderaan ketika lampu isyarat berwarna merah saja, kalau hijau memang kami berdiri dekat pembahagi jalan, lagi pun jalan di sini, kereta, motosikal, lori memang laju-laju belaka," katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Hamzah, berniaga di persimpangan ini bukan sesuatu yang mudah.

"Ramai menyangka kami berniaga ini mudah dan menguntungkan tapi sebenarnya bergantung kepada keadaan serta cuaca, ada kalanya kenderaan banyak tapi ramai yang tak beli dan begitu sebaliknya.

"Namun syukurlah, sepanjang saya berniaga belum pernah tak habis, selalunya jika tak ramai membeli, lakulah juga sebalang dua," katanya.

Jelas Hamzah, sebelum ini dia bekerja sebagai jurujual di sebuah syarikat telekomunikasi swasta, namun berhenti kerana mahu berniaga sepenuhnya.

"Perniagaan ini merupakan perniagaan keluarga, jadi saya ambil keputusan berhenti kerja dan bantu keluarga, Alhamdulillah, biarpun nampak susah namun saya minat mencari rezeki dengan cara begini.

"Awalnya memang nampak susah, sebab kita tak tahu orang suka ke atau tidak dengan apa yang kita jual, Alhamdulillah hampir dua tahun di sini, kami sudah ada pelanggan setia dan suka dengan produk makanan yang kami jual," ujarnya.

Hampir dilanggar kereta

Biarpun pernah menempuh detik cemas apabila hampir dilanggar kenderaan ketika sedang bekerja, namun bagi penjaja yang dikenali sebagai Ikmal, 18, berkata, kejadian itu tidak sesekali mematahkan semangatnya untuk bekerja.

"Saya dah bekerja hampir setahun, asalnya abang yang tolong saya dapatkan kerja ini, saya daripada keluarga yang kurang berada, niat saya nak bekerja nak bantu keluarga itu sahaja.

"Setiap kali sebelum keluar menjaja, saya dan rakan lain akan diberi taklimat mengenai keselamatan ketika berniaga, majikan saya memang sangat utamakan keselamatan, jadi dalam apa-apa aspek keselamatanlah yang jadi keutamaan kami," tambahnya.

Ikmal memberitahu, ketika awal pembabitannya sebagai penjual makanan di persimpangan lampu isyarat ini, dirinya hampir dilanggar kenderaan.

"Masa itu saya tak perasan ada kereta, mujurlah kereta tu sempat tekan brek tapi tu silap saya juga sebab tak hati-hati.

"Awal masa kerja dulu takutlah juga sebab jumpa macam-macam orang, macam-macam ragam pula tu, tapi lama kelamaan saya dapat membiasakan diri," katanya.

Polis memberi amaran tindakan berniaga di persimpangan lampu isyarat boleh mengundang risiko kemalangan.
Polis memberi amaran tindakan berniaga di persimpangan lampu isyarat boleh mengundang risiko kemalangan.

Aspek keselamatan diutamakan

Berniaga di persimpangan yang sesak dengan kenderaan bukan sesuatu yang mudah, tersilap langkah pastinya mengundang bahaya.

Pengusaha jeruk yang mahu dikenali sebagai Zulkifli,55, memberitahu, aspek keselamatan amat dititik beratkan kepada para pekerjanya.

"Bagi saya keuntungan bukan segalanya yang penting adalah keselamatan, baik keselamatan pekerja dan juga pelanggan, atas sebab itu, kami hanya akan berurus niaga ketika lampu isyarat merah sahaja.

"Dan apabila lampu isyarat nak bertukar ke hijau memang tak akan ada urus niaga walaupun ada pelanggan yang memanggil, sebab agak bahaya dan itu saya terapkan kepada pekerja," katanya.

Jelas Zulkifli, pada setiap minggu beliau akan memberikan taklimat kepada para pekerja.

"Saya selalu ingatkan kepada para pekerja agar saling jaga antara satu sama lain, dalam kerja ini, jangan terlalu kejar keuntungan, kena berhati-hati selalu ketika buat kerja.

"Pada masa sama, jangan pentingkan diri sendiri, Insya-ALLAH, jika kerjasama pastinya setiap apa yang dilakukan akan dipermudahkan," katanya.

Menurut Zulkifli, berniaga di persimpangan lampu isyarat ini sememangnya berdepan dengan pelbagai cabaran.

"Selain faktor jalan yang sesak, pelbagai ragam juga ada kalanya pelanggan ini, namun paling penting adalah sabar, pernah satu ketika ada pelanggan yang nak beli lima balang jeruk yang dijual, katanya nak bayar atas talian.

"Pekerja saya pun berilah dan bagi nombor akaun untuk pelanggan bayar, namun akhirnya wang ditunggu tak juga dimasukkan, saya pesan dekat pekerja saya, itu bukan rezeki kita, jadi tak apalah mungkin itu sekadar Allah nak ingatkan kita dalam setiap apa kita dapat, ada bahagian orang lain," katanya.


Penjaja lampu isyarat berjalan di pembahagi jalan sambil membawa makanan untuk dijual kepada pemandu kenderaan sementara menunggu lampu isyarat berubah hijau.
Penjaja lampu isyarat berjalan di pembahagi jalan sambil membawa makanan untuk dijual kepada pemandu kenderaan sementara menunggu lampu isyarat berubah hijau.

Sepanjang setahun berniaga, ada kalanya berdepan dengan teguran daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), namun bagi Zulkifli, tugas anggota PBT yang menegur itu tetap perlu dihormati.

"Pernah ada mereka (anggota PBT) tegur dan minta pekerja saya balik, saya pesan dekat pekerja, jangan melawan, ikut sahaja apa yang ditegur itu.

"Kita kena ingat mereka juga jalankan tanggungjawab dan tugas, hormat tugas mereka kerana mereka juga bekerja," tegasnya.

Bagi Zulkifli, berniaga tetap perlu berniaga namun pada masa sama, beliau berharap agar kerajaan negeri menerusi PBT dapat mempermudahkan urusannya menjalankan perniagaan.

"Terus terang saya katakan, saya ini asnaf, penerima bantuan zakat dan yang bekerja dengan saya juga terdiri daripada keluarga-keluarga asnaf.

"Jadi saya harapkan kerajaan negeri dapat bantulah mudahkan urusan kami berniaga, dapat beri lesen dan letakkan syarat-syarat pun tidak mengapa.

"Saya harapkan diberikan kelonggaran untuk kami mencari rezeki, Insya-ALLAH seandainya diberikan prosedur, kami akan ikut," tambahnya.

Boleh undang risiko keselamatan

Tindakan tegas termasuk saman boleh dikenakan terhadap mana-mana individu yang menjalankan aktiviti jual beli di tengah jalan terutamanya di persimpangan lampu isyarat.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, aktiviti tersebut bukan sahaja merisikokan keselamatan penjual, malah pengguna jalan raya yang lain.

"Aktiviti jual beli di tengah-tengah jalan bukan sahaja mengganggu aliran trafik, malah berbahaya kepada keselamatan semua pihak.

"Aktiviti sebegini adalah satu kesalahan mengikut Kaedah 10a (1) Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan 1959 (ln 166/59) yang menyatakan tiada urusan jual beli dibenarkan di persimpangan jalan atau di mana-mana jalan raya," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut Abd Khalid, pihaknya menggesa semua pengusaha dan penjaja jalanan supaya menghentikan penjualan makanan dan minuman di persimpangan jalan atau mana-mana jalan raya kerana boleh mengundang risiko kemalangan.

Dua anggota polis mendekati seorang penjaja jalanan bertujuan memberi nasihat dan peringatan di sekitar bandar Chukai, Kemaman. - Foto ihsan polis
Dua anggota polis mendekati seorang penjaja jalanan bertujuan memberi nasihat dan peringatan di sekitar bandar Chukai, Kemaman. - Foto ihsan polis

"Tindakan tegas dan tanpa kompromi akan diambil terhadap penjual dan juga pembeli yang terlibat dalam kegiatan ini.

"Janganlah hanya untuk mendapatkan rezeki, anda mendatangkan risiko dan bahaya kepada diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain," tegas Khalid.

Ops Khas Penjaja Jalanan

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Ops Khas Penjaja Jalanan telah mengeluarkan sebanyak 215 saman dan 137 tindakan advokasi terhadap peniaga yang menjaja di persimpangan lampu isyarat di seluruh negara.

Timbalan Pengarah I, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, sebanyak 11 tindakan rampasan turut diambil dalam Ops Khas yang bermula dari 13 hingga 31 Disember tahun lalu.

Menurutnya, Ops Khas selama 19 hari berkenaan dijalankan untuk mengurangkan risiko kemalangan terhadap pengguna jalan raya dan penjaja itu sendiri yang kebanyakannya anak muda.

"Lokasi yang sering berlakunya aktiviti ini adalah di persimpangan lampu isyarat jalan dengan penjaja menjual makanan jeruk mangga dan lain-lain makanan serta minuman.

"Aktiviti seperti ini sekiranya tidak dikawal boleh mendatangkan risiko bahaya dan kemalangan kepada penjaja itu sendiri serta pengguna jalan raya lain," katanya.

Mohd Nadzri berkata, aktiviti jualan seumpama itu adalah satu kesalahan dan individu yang terlibat dalam urusan jual beli di jalan raya termasuk di persimpangan lampu isyarat boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan jika disabitkan kesalahan.

Beliau menasihatkan semua penjaja yang menjual jeruk mangga atau apa sahaja makanan dan minuman supaya berhenti segera dari terus menjaja di persimpangan lampu isyarat serta persimpangan jalan raya.

"JSPT akan terus menjalankan operasi sebegini supaya mereka mematuhi arahan serta peraturan undang-undang yang telah ditetapkan," ujarnya.


Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf memberi nasihat kepada penjaja jeruk mangga di Seremban, baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf memberi nasihat kepada penjaja jeruk mangga di Seremban, baru-baru ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!