Tiga beradik ditahan miliki rokok seludup
KUANTAN - Tiga beradik ditahan dipercayai terlibat kegiatan menyimpan dan menjual rokok seludup di sebuah kampung di sini, pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, salah seorang daripada mereka merupakan seorang peniaga kedai runcit berusia 36 tahun manakala dua lagi masing-masing berusia 50 tahun dan 25 tahun.
Menurutnya, suspek ditahan hasil serbuan dijalankan sepasukan anggota dari Unit Risikan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan ke atas sebuah rumah di lokasi tersebut kira-kira jam 2.40 petang.
"Kami menemui dan merampas 1,759 karton rokok seludup pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM80,000.
"Peniaga berusia 36 tahun itu mengakui rokok tersebut diperoleh dan disimpan sebagai bekalan untuk dijual di kedai runcitnya manakala dua saudara lelakinya itu membantu mendapat bekalan rokok seludup daripada pembekal," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, suspek juga mengaku bekalan rokok tidak bercukai itu diperoleh melalui pembelian secara dalam talian dari satu kumpulan WhatsApp.
"Bekalan rokok yang diterima disimpan di rumah tersebut yang dijadikan sebagai stor simpanan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!