Graduan tidak perlu daftar JobMatching@GREaT untuk cari kerja

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Graduan yang belum mendapat pekerjaan tidak perlu mendaftar permohonan pekerjaan melalui JobMatching@GREaT kerana maklumat sedia ada dalam Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) akan dipadankan secara automatik dengan kekosongan jawatan yang ditawarkan pihak industri atau syarikat.

Menerusi kenyataan pada Sabtu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memaklumkan sekiranya graduan terbabit layak serta memenuhi kriteria yang ditetapkan industri atau syarikat, graduan berkenaan akan disenarai pendek dan dipanggil untuk menghadiri sesi temu duga.

KPT berkata, demikian bagi menjelaskan info yang tular di media sosial baru-baru ini bahawa graduan perlu mendaftar melalui JobMatching@GREaT bagi mendapatkan pekerjaan.

JobMatching@GREaT yang dilancarkan pada 28 September 2020 merupakan modul pemadanan pekerjaan menggunakan data SKPG bagi mengenal pasti graduan yang masih belum mendapat pekerjaan. Sistem tersebut memadankan kelulusan graduan dengan kerjaya secara automatik menggunakan kaedah tapisan multikriteria dan pemeringkatan.

Menurut KPT, sistem yang menggunakan tagline ‘Industri Jejak Graduan’ itu memudahkan pihak industri atau syarikat untuk menjejaki graduan yang belum mendapat pekerjaan tanpa perlu memohon pekerjaan seperti kebiasaan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!