Guru kena tipu lebih RM20,000 gara-gara meja solek
JEMPOL- Seorang guru kerugian RM20,120 selepas ditipu scammer jual beli perabot tidak wujud di laman sosial Facebook.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, guru wanita berusia 42 tahun itu melayari Facebook dan melihat iklan menjual meja solek pada 27 Februari lalu.
"Mangsa berminat untuk membelinya dan menekan satu pautan aplikasi palsu perbankan sebelum mengisi butiran peribadi termasuk akaun bank.
"Seterusnya mangsa diminta membayar RM10 sebagai yuran keahlian bagi membolehkannya membeli barangan perabot pada harga lebih murah," katanya dalam kenyataan, pada Sabtu.
Menurut Chang Hook, mangsa cuba membayar menerusi pindahan wang namun tidak berjaya lalu mangsa menjadi curiga.
"Dia kemudian menyemak dan mendapati wang di dalam akaun Tabung Haji miliknya berkurangan sebanyak RM16,060 kerana ia dipindahkan ke akaun Bank Islam milik mangsa yang kemudian dipindahkan pula ke dalam dua akaun e-wallet tidak dikenali," katanya dalam kenyataan, pada Sabtu.
Menurut Chang Hook, mangsa membuat laporan di Balai Polis Ladang Geddes pada Selasa lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!